BARU-BARU ini kita dikejutkan dengan berita kematian tragis adik Adam Rayqal Mohd Sufi Naeif di rumah pengasuhnya di Kampung Nakhoda, Batu Caves.

Apa yang berlaku kepada adik Adam Rayqal itu menggemparkan. Tidak sedikit yang ikut berdukacita dengan apa yang berlaku dan menyatakan rasa simpati terhadap ibu bapa malang itu.

Ada juga yang marah-marah dan menunding jari menyalahkan itu dan ini apabila tragedi adik Adam Rayqal ini berlaku. Begitulah selalunya kita ini, apabila berlaku sesuatu tragedi atau musibah, kita akan menyatakan rasa tidak puas hati. Selepas beberapa ketika, kita akan lupa hinggalah berlaku satu lagi tragedi dan kita kembali bersuara.

Sampai bila harus begitu? Bukankah sepatutnya sudah lama ditemui jalan penyelesaian terhadap perkara yang sudah sering berlaku? Contohnya tentang pusat asuhan atau Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) di tempat kerja. Bukankah sudah lama perkara ini dicadangkan?

Kenapa sampai sekarang, cadangan agar majikan menyediakan Taska di tempat kerja masih kurang mendapat sambutan? Adakah perlu kerajaan mewajibkan penyediaan Taska di tempat kerja barulah majikan akan menyediakannya?

Bagi memudahkan wanita bekerjaya meletakkan anak sepanjang waktu bekerja, adalah wajar bagi majikan di semua sektor awam dan swasta menyediakan Taska atau pusat asuhan di pejabat masing-masing.

Majikan seharusnya menyedari bahawa menyediakan Taska atau pusat asuhan di pejabat boleh memberi impak secara langsung terhadap produktiviti pekerja wanita.

Datin Nabila melawat wad kanak-kanak.

Sebenarnya, ada sektor awam dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang menyediakan Taska atau pusat asuhan di tempat kerja. Tetapi perkara ini kurang mendapat sambutan dari sektor swasta.

Perkara itu memperlihatkan tahap kesedaran majikan di sektor swasta masih rendah biarpun ia merupakan tanggungjawab sosial majikan terhadap kebajikan pekerjanya.

Sebenarnya majikan tidak perlu merasa terbeban jika perlu menyediakan taska di tempat kerja kerana ia boleh dianggap sebahagian dari tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Menyediakan pusat jagaan atau taska ini juga boleh memberi gambaran seseorang majikan itu mempunyai sifat manusiawi dan tidak hanya tahu mengejar keuntungan semata-mata.

Tidak rugi jika majikan mempunyai sisi manusiawi ini kerana kakitangan mereka akan merasa lebih dihargai. Taska atau pusat asuhan di tempat kerja membolehkan kanak-kanak ditempatkan di tempat yang selamat dan lebih dekat dengan ibu bapa mereka.

Menyediakan taska atau pusat asuhan kanak-kanak di tempat kerja akan menyebabkan wanita ‘tenang’ untuk bekerja kerana tidak perlu ‘terkejar-kejar’ menghantar dan mengambil anak di pusat penjagaan. Jika majikan menyediakan pusat jagaan, ia seolah-olah anak-anak berada dekat dengan ibu bapa mereka.

Ramai golongan ibu terpaksa membuat keputusan untuk berhenti kerja disebabkan tidak dapat memberikan komitmen sepenuhnya terhadap tugasan kerana memikirkan anak-anak yang ditinggalkan di pusat asuhan yang kebiasaannya di kawasan perumahan.

Agensi kerajaan atau syarikat swasta boleh bekerjasama dengan mana-mana pusat asuhan bagi merealisasikan cadangan menyediakan taska di pejabat.

Selain itu, badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan kanak-kanak atau wanita juga boleh memainkan peranan membantu kerajaan dengan mengadakan kerjasama dengan GLC atau syarikat kewangan untuk memastikan cadangan menyediakan Taska di pejabat dapat direalisasikan.

Menyediakan pusat asuhan kanak-kanak atau Taska bukanlah satu bebanan kepada majikan. Fikirkan juga tanggungjawab sosial terhadap kakitangan yang bertungkus lumus memajukan syarikat.

Janganlah kita semua dikejutkan dengan satu lagi berita tragedi yang menimpa kanak-kanak di pusat jagaan dan selepas itu kita menyesal kerana lambat bertindak.



* Datin Nabilah Sanusi merupakan Presiden Pertubuhan Wanita Dalan Perniagaan & Pemikiran Kreatif (Pewangi).

** Kandungan artikel ini adalah daripada pendangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili perspektif sidang pengarang Astro AWANI.