Taska tular tidak patuh akta, dalam proses penutupan sementara - JKM

Rahimah Abdullah
April 8, 2023 06:00 MYT
Ibu kanak-kanak terlibat mendedahkan tangkap layar rakaman CCTV yang menunjukkan kanak-kanak diasingkan dalam bilik isolasi dan didakwanya tanpa pengawasan pengasuh. -Gambar Facebook El Ameerah
KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah mengeluarkan notis peringatan kepada pengusaha taska yang tular di media sosial baru-baru ini agar membuat penambahbaikan dengan kadar segera.
KPWKM memaklumkan, taska itu juga dalam proses penutupan sementara bagi menyediakan persekitaran yang selamat untuk kanak-kanak dan meningkatkan kualiti pengasuhan di taska tersebut.
"Hasil pemeriksaan JKM pada 29 Mac 2023, didapati telah berlaku ketidakpatuhan kepada Akta Taska 1984.
"Dengan itu, pengusaha telah diberi notis peringatan untuk membuat penambahbaikan dengan kadar segera dan dalam proses penutupan sementara bagi tujuan menyediakan persekitaran yang selamat untuk kanak-kanak dan meningkatkan kualiti pengasuhan di taska tersebut," kata KPWKM dalam satu kenyataan pada Sabtu.
JKM juga akan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan kanak-kanak yang dilaporkan menjadi mangsa penderaan mendapat keadilan sewajarnya.
Kata kenyataan lagi, Akta Kanak-Kanak 2001 tidak akan berkompromi mengenai keselamatan kanak-kanak dan menjadi tanggungjawab pengusaha taska untuk memantau tugas pengasuh bagi memastikan kanak-kanak berada dalam keadaan selamat di bawah jagaan taska.
"Sekiranya terdapat kecuaian pengasuh yang mengakibatkan kecederaan kepada kanak-kanak, tindakan segera dengan melaporkan kepada JKM dan pihak polis perlu dibuat," tambah kenyataan itu lagi.
Kementerian itu juga meminta kerjasama daripada semua pihak, terutamanya ibu bapa, untuk melaporkan sebarang isu berkaitan kanak–kanak kepada pihak berkuasa atau menghubungi Talian Kasih di nombor 15999 dan aplikasi WhatsApp 019–2615999 yang beroperasi 24 jam sehari, atau mengunjungi mana-mana Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah terdekat.
Sebelum ini, seorang ibu kepada kanak-kanak yang dihantar ke sebuah taska meluahkan rasa sedih dan kecewa berhubung dakwaan berlakunya pengabaian pengasuh serta taska yang menyebabkan anaknya mengalami kecederaan seakan kesan cubitan dan gigitan.
Ibu itu juga mendedahkan di akaun Facebooknya tangkap layar sebuah bilik isolasi yang digunakan untuk mengasingkan kanak-kanak serta didakwa tanpa pengawasan pengasuh dalam tempoh yang lama.
Pendedahan itu turut mendapat kecaman banyak pihak terutama ibu bapa dan menjadi perhatian pihak berkuasa.
#Jabatan Kebajikan Masyarakat #Kanak-kanak #taska tular #notis peringatan