KUALA LUMPUR: Tatakelola, sistem antipenipuan dan risikan dalaman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menjadi faktor utama terbongkarnya tuntutan palsu insentif Daya Kerjaya.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Datuk Seri Mohammed Azman Aziz berkata, modus operandi pemalsuan dokumen tuntutan oleh segelintir majikan dikesan sejak penghujung 2024.
Menurutnya, kegiatan itu dikesan Bahagian Anti-Fraud, Etika dan Integriti (AFEI) PERKESO sebelum disusuli siasatan dalaman serta risikan di lapangan.
Maklumat risikan terperinci itu melibatkan 426 majikan yang disyaki terbabit dalam kegiatan berkenaan sebelum diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Ogos 2025.
“Maklumat yang kita perolehi bermula pada Disember 2024. Bila kita melihat berdasarkan sistem dan artificial intelligence sistem daripada bahagian anti-fraud PERKESO yang mengenal pasti tuntutan-tuntutan yang dianggap palsu ini, yang didapati ada some discrepancy, kita menyiasat.
“Selepas kita melaksanakan siasatan, kita yang hantar ataupun kita yang salurkan maklumat ini kepada SPRM. Jadi kalau kita lihat hampir 5.33 juta berjaya diselamatkan,” katanya dalam sidang media LINDUNG 24 Jam di ibu negara pada Jumaat.
Dalam kenyataan berasingan, Azman berkata beliau turut mengarahkan AFEI bekerjasama dengan SPRM sehingga membawa kepada tangkapan besar-besaran menerusi Op Daya pada 9 Jun lalu.
Selain itu, tambahan RM1.5 juta dana sama turut dikembalikan oleh majikan selepas mengaku terbabit dalam kegiatan tuntutan palsu.
Dalam masa sama, beliau berkata PERKESO menyambut baik kerjasama dengan SPRM bagi menambah baik proses dalaman, khususnya dalam menutup ruang penipuan tuntutan pada masa depan.
“Jadi kita menyambut baik apa yang telah disarankan oleh SPRM dan mereka berhasrat untuk membantu kita melihat bagaimana boleh kita tambah baik dari segi proses, dari segi untuk memastikan ruang-ruang tuntutan palsu ini dapat kita tutup, kita menerima dengan tangan terbuka kerana kita ingin bekerjasama.
“Sebenarnya saya nyatakan proses ini bermula daripada PERKESO yang kita salurkan kepada SPRM dan dalam proses penyiasatan dan sebagainya mungkin ada ruang-ruang yang mungkin beyond us,” ujarya.
Beliau berkata, PERKESO turut menyempurnakan dasar Ikrar Bebas Rasuah melalui SPRM dan menjalin kerjasama dengan suruhanjaya itu bagi tujuan penambahbaikan proses berkaitan.
Azman menegaskan, PERKESO tidak akan berkompromi dengan mana-mana dalang yang terbabit atau bersekongkol dalam jenayah tuntutan palsu, termasuk jika melibatkan anggota dalaman agensi itu.
“PERKESO kekal komited untuk memperkukuh integriti demi memastikan setiap dana awam diuruskan dengan penuh tanggungjawab dan memberikan manfaat kepada pencarum, majikan serta rakyat Malaysia,” tegasnya.
Pada Khamis, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, sekurang-kurangnya seorang pegawai kanan SPRM akan ditempatkan di PERKESO susulan kelemahan tadbir urus yang dikesan di agensi itu.