Taufan Super Saola jejas hampir 200,000 penduduk di Filipina
Bernama
Ogos 30, 2023 18:36 MYT
Ogos 30, 2023 18:36 MYT
MANILA: Taufan super Saola yang mencetuskan banjir dan tanah runtuh di tujuh wilayah di Filipina, menjejaskan hampir 200,000 orang, kata kerajaan pada Rabu, lapor Xinhua.
Majlis Pencegahan dan Pengurusan Risiko Bencana Kebangsaan berkata sekurang-kurangnya seorang dilaporkan hilang, manakala tiada kematian dilaporkan setakat ini.
Saola membanjiri 193 kawasan dan mencetuskan 12 tanah runtuh di Luzon dan tengah Filipina, dengan lebih 35,000 penduduk yang dipindahkan, masih berada di tempat perlindungan sementara.
Taufan itu bertambah ganas dan menjadi taufan besar pada Ahad, menyebabkan hujan lebat dan angin kencang di utara Filipina.
Biro Cuaca Filipina berkata Saola mengekalkan kekuatannya pada Rabu ketika ia bergerak ke barat laut pada kelajuan 15 kilometer (km) sejam di wilayah paling utara Batanes, dengan kelajuan angin 195 km sejam dan meningkat sehingga 240 km sejam.
Pentadbiran Perkhidmatan Atmosfera, Geofizik dan Astronomi Filipina berkata Saola akan terus membawa hujan lebat, terutama di kawasan pergunungan yang boleh mencetuskan lebih banyak banjir dan tanah runtuh.
Saola adalah taufan ketujuh yang melanda Filipina tahun ini, dan berkemungkinan kekal sebagai taufan besar sehingga Jumaat.
-- BERNAMA