KUALA LUMPUR: Turki sedia bekerjasama dengan Malaysia dalam projek pertahanan untuk kepentingan kedua-dua negara dan bersedia menawarkan jet pejuang generasi kelimanya, 'KAAN' dalam membantu memenuhi keperluan pertahanan udara Malaysia.
Setiausaha Industri Pertahanan Turki, Prof Dr Haluk Gorgun berkata, dengan bergabung tenaga, Malaysia boleh mendapat akses kepada teknologi terkini dan kepakaran, mempercepatkan keupayaan pertahanannya sendiri dan menggalakkan pertumbuhan industri pertahanan tempatan.
Dalam satu temu bual dengan Bernama menerusi e-mel menjelang Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2024 selama tiga hari dari 6 Mei hingga 9 Mei di Kuala Lumpur, Gorgun menekankan manfaat timbal balik daripada perkongsian sedemikian.
"Kami terbuka untuk bekerjasama dengan Malaysia, sebuah negara sahabat dan bersaudara dalam projek pembangunan, termasuk Projek 'KAAN' yang telah dimulakan oleh Turki. Kami juga terbuka untuk berkongsi pengalaman yang kami perolehi dari Pesawat Latihan Asas Generasi Baharu HURKUS dan pesawat HURJET dengan Malaysia.
"Turki pada masa sama boleh mendapat manfaat daripada sumbangan Malaysia dalam bidang seperti penyelidikan dan pembangunan, keupayaan pembuatan dan pengetahuan serantau," katanya sambil menyatakan keyakinan terhadap kesan positif kerjasama itu terhadap hubungan dua hala dan keselamatan serantau.
Gorgun menyatakan, Turki dan Malaysia telah berjaya bekerjasama dalam projek-projek perolehan langsung, usaha pengeluaran bersama dan aktiviti Pemindahan Teknologi (ToT) di pelbagai platform dan subsistem.
Kerjasama luar biasa ini ditunjukkan oleh projek kenderaan darat seperti ADNAN dan Gempita, yang diketuai oleh FNSS, serta radar, sistem senjata dan inisiatif kawalan yang dipandu oleh Aselsan dan penghantaran kenderaan berperisai yang difasilitasi oleh NUROL.
Mengulas lanjut, Gorgun menegaskan, sebagai jet pejuang serba guna, 'KAAN' mahir menjalankan pelbagai misi, termasuk pertempuran udara-ke-udara, serangan udara-ke-darat, pengintipan dan perang elektronik, memberikan Malaysia pilihan serba guna untuk menangani pelbagai cabaran keselamatan.
"Kebolehoperasian KAAN dengan sistem NATO dan potensi pemindahan teknologi memberikan peluang kepada Malaysia untuk menyepadukan pesawat itu dengan lancar ke dalam infrastruktur pertahanannya melalui kerjasama Turkiye.
"Secara keseluruhan, pelaburan dalam KAAN akan meningkatkan penguasaan udara Malaysia dengan ketara, mengukuhkan hubungan pertahanan dua hala dan menyumbang kepada keselamatan dan kestabilan serantau di Asia Tenggara," kata beliau.
Pada 21 Feb, ujian penerbangan sulung selama 13 minit jet pejuang generasi kelima Turki pertama 'KAAN' telah menarik perhatian media antarabangsa.
'KAAN' juga dilaporkan hasil usaha selama lebih sedekad daripada Tentera Udara Turki dan negara itu menyasarkan 'KAAN' untuk menggantikan armada F-16 Turki.
Turki ialah satu daripada lima negara di dunia yang boleh membangunkan dan menghasilkan jet pejuang generasi kelima secara bebas, menyertai Amerika Syarikat (AS), Rusia, China dan Korea Selatan.
Sementara itu, mengenai DSA dan Natsec, Gorgun berkata, perhimpunan antarabangsa itu akan menjadi platform hebat untuk pertukaran idea bersama antara kedua-dua negara dan untuk rundingan mengenai kerja-kerja bersama yang boleh dilakukan.
Gorgun berkata, Turki telah mencapai kejayaan ketara di wilayahnya dalam operasi yang dilaksanakan dengan menggunakan hanya peluru domestik, dengan sokongan UAV dan UCAV khususnya selain telah mengubah keseimbangan kuasa di Wilayah Mediterranean dengan tentera laut dan tentera udaranya.
"Faktor terbesar penyertaan kami dalam DSA 2024 begitu kuat iaitu untuk menunjukkan tahap yang kami capai ke Asia dan untuk memberikan mesej bahawa Turki adalah salah seorang pemain utama dalam industri pertahanan dan sedia untuk bekerjasama dengan Malaysia.
"Saya percaya, DSA 2024 akan menjadi platform yang hebat untuk pertukaran idea antara kedua-dua negara dan untuk rundingan mengenai kerja-kerja bersama yang boleh dilakukan.
"Dalam mesyuarat kerjasama industri pertahanan yang akan dijalankan, kami akan mendalami keperluan tentera Malaysia, isu-isu yang boleh dihasilkan bersama dan kami pasti akan membentuk hala tuju kami dari perspektif ini dalam tempoh akan datang," katanya.
Gorgun menyatakan industri pertahanan Turki menjadi antara penyumbang utama kepada ekonomi negara itu dengan lebih 3,500 syarikat dan 80,000 pekerja.
Sehubungan itu, lebih 850 projek dan aktiviti berkaitan telah dilancarkan yang membawa kepada perolehan industri pertahanan sebanyak AS$12 bilion, perbelanjaan penyelidikan dan pembangunan melebihi AS$2 bilion dan jumlah eksport tahunan mencatatkan rekod sebanyak AS$5.5 bilion.
Pada tahun ini, Turki sekali lagi muncul sebagai kontinjen terbesar di Pameran DSA dan NATSEC 2024 dengan hampir 70 syarikat termasuk penyertaan Aselsan, Canik, Dearsan Shipyard dan Turkish Aerospace Industries. - BERNAMA
Bernama
Mon May 06 2024
Turki sedia bekerjasama dengan Malaysia dalam projek pertahanan untuk kepentingan kedua-dua negara dan bersedia menawarkan jet pejuang generasi kelimanya, KAAN, kata Haluk Gorgun.
WTF: Tang Jie-Ee Wei hampiri kejuaraan, cipta sejarah
Chen Tang Jie-Toh Ee Wei menghampiri gelaran juara Jelajah Dunia Akhir (WTF) Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selepas melangkah ke final edisi 2024 di Hangzhou, China, malam ini.
Karnival M6 jambatani komuniti e-sukan dengan khalayak umum
Sempena Kejohanan Antarabangsa Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) M6 di mana Malaysia menjadi tuan rumah buat kali kedua.
Jalur Gemilang terbalik pada jersi Zii Jia kecuaian kritikal - Fahmi
Kontroversi Jalur Gemilang terbalik pada jersi pemain perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia dianggap sebagai kesilapan ketara.
SAPP umum keluar daripada Perikatan Nasional - Presiden
Parti Maju Sabah (SAPP) hari ini umum keluar daripada Perikatan Nasional - Presiden
Kos haji meningkat atau kekal diumum pada Isnin
Pengumuman kos bagi mengerjakan haji bagi tahun hadapan akan dibuat pada Isnin sekali gus menjawab persoalan sama ada berlaku peningkatan atau kos dikekalkan.
Jenazah bayi beku: Polis rekod keterangan doktor
Polis telah merakam keterangan empat individu pada Jumaat, berhubung kes jenazah bayi lelaki disimpan dalam peti sejuk di sebuah hospital swasta di Klang.
'Allosaurus' & 'Stegosaurus' dibida £12.4 juta pound
Tiga rangka dinosaur dari era Jurassic berjaya dibida dengan nilai 12.4 juta pound pada Khamis. Bidaan itu yang berlangsung di London melibatkan dua fossil Allosaurus yang dijual berpasangan berjumlah 8.1 juta pound atau bersamaan 10.3 juta dolar Amerika.
Gempa bumi kuat 6.3 magnitud gegar Chile
Gempa bumi berukuran 6.3 magnitud menggegarkan wilayah tengah Chile termasuk ibu negara, Santiago pada Jumaat.
Francois Bayrou dilantik Perdana Menteri baharu Perancis
Presiden Perancis, Emmanuel Macron, yang sedang berhadapan tekanan politik, semalam melantik sekutunya yang berhaluan tengah, Francois Bayrou, sebagai Perdana Menteri baharu bagi negara itu.
Penunjuk perasaan Korea Selatan berhimpun menjelang undi pemecatan Presiden kali kedua
Penunjuk perasaan berhimpun di luar Dewan Perhimpunan Nasional Korea Selatan menjelang undi pemecatan kedua Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol pada Sabtu.
Kapal perang TCG Kinaliada milik Turki singgah Malaysia
Dalam pelayaran ke Jepun, Malaysia menjadi negara ketujuh yang menjadi persinggahan TCG Kinaliada.
Tawaran jet pejuang KAAN Turki untuk tingkat pertahanan udara Malaysia
Turki sedia bekerjasama dengan Malaysia dalam projek pertahanan untuk kepentingan kedua-dua negara dan bersedia menawarkan jet pejuang generasi kelimanya, 'KAAN.'