Dalam beberapa jam lagi Pirelli akan mengadakan satu demonstrasi untuk menunjukkan tayar 18 inci yang sedang dibangunkan bagi kemungkinan ia digunakan kategori GP2 dan F1. Pemanduan akan dilakukan oleh Martin Brundle, bekas pelumba F1 dan sekarang pengulas F1. Namun, Pirelli akan menggunakan sebuah jentera GP2 untuk demonstrasi ini.

Lokasi adalah di Monaco, dan hari ini dipilih kerana berbeza dengan jadual di litar-litar lain, Jumaat adalah hari rehat dengan ketiadaan sesi latihan dan sebagainya.

Ini bukan kali pertama tayar 18 inci yang sedang dikaji muncul untuk dilihat khalayak ramai. Tahun lepas di litar Silverstone, Pirelli telah memasang tayar berukuran sama kepada sebuah Lotus yang dipandu Charles Pic (seperti yang ditunjukkan oleh gambar-gambar di sini).

Pada waktu itu, kereta lumba E22 tersebut hanya dipandu selama 14 pusingan (di Monaco, Pirelli hanya menjadualkan dua pusingan sahaja). Masa yang sangat terhad ini kemungkinan besar adalah kerana sebab-sebab sama – ia bukanlah untuk tujuan penyelidikan.

Sebaliknya, ia sebagai menunjukkan kesan tayar ukuran ini dari segi aestetik apabila dipasang kepada sebuah jentera lumba. Berdasarkan maklum balas orang ramai dan peminat sukan bermotor setelah tamatnya sesi di Silverstone tahun lalu, ia sangat positif.

Berdasarkan sesi tahun lalu juga, berat tayar 18 inci masih sama sepertimana tayar 13 inci yang digunakan sekarang. Tetapi apabila sudah dipasang pada rim, berat keseluruhan bertambah sebanyak lebih kurang empat kilogram.

Pihak berkenaan seperti FIA dan FOM belum memberi kata setuju bahawa tayar 18 inci akan dibenarkan. Dari segi praktikalnya, tayar 18 inci lebih releven kepada saiz tayar yang digunakan kereta-kereta kegunaan biasa. Oleh itu ia lebih mampu menyumbang kepada pembangunan teknologi tayar.

Sebagai contoh, tayar 18 inci memerlukan sisi (sidewall) yang jauh lebih kukuh. Selain itu, lebih mudah untuk mengawal tekanan di dalam tayar* 18 inci kerana jumlah udara yang kurang berbanding tayar 13 inci.

* Walaupun Pirelli membuat semua tayar bagi digunakan pasukan-pasukan F1, gas yang diisi boleh ditentukan oleh pasukan masing-masing. Secara asasnya, udara yang digunakan adalah kaya dengan nitrogen kerana ia lebih stabil apabila keadaan panas. Tetapi, khabarnya ada juga pasukan yang menggunakan campuran gas yang lebih rumit. Tetapi sudah tentu ia semuanya ‘resepi’ rahsia.