Buat Pertama kalinya di Malaysia, Teater Atas Pokok arahan Shamsuddin Osman atau lebih dikenali sebagai Dinsman dipersembahkan kepada orang ramai di atas sebuah pokok angsana di Taman Tasik Shah Alam.

Ia turut mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records sebagai persembahan teater di atas pokok pertama di Malaysia.

Persembahan hampir dua jam itu dianggap sebagai unik dan istimewa kerana berbeza dengan teater konvensional kerana menjadikan sebatang pokok angsana sebagai 'pentas'.

Teater Atas Pokok menampilkan tujuh pelakon termasuk seorang penari dari Thailand, Bhumin Dhanaketpisarn.

Dalam teater itu, pokok menjadi simbol Kampung Banda Dalam, sebuah kampung warisan di ibu kota, yang berdepan ancaman kemusnahan akibat kesan pembangunan.

Ia mengisahkan bagaimana penduduk bermati-matian mempertahankan kampung mereka daripada dirobohkan pihak kerajaan dan pemaju untuk menggantikan perkampungan berkenaan dengan bangunan pencakar langit.

Dinsman turut mengangkat dua sajak Allahyarham Sasterawan Negara, Usman Awang yang bertajuk "Terbunuhnya Beringin Tua di Pinggir Sebuah Bandaraya" dan "Surat Dari Masyarakat Burung kepada Datuk Bandar" dalam skrip teater itu.

Beliau mengakui ilham untuk mewujudkan teater seumpama itu timbul selepas ternampak sebatang pokok di belakang Madrasah Tarbiyah Kampung Banda Dalam dan mula terfikir untuk menjadikannya sebagai elemen pentas.


Dalam pada itu, Disman berkata, beliau berusaha memberikan persembahan yang lebih baik pada hari kedua persembahan berikutan beberapa masalah teknikal yang berlaku semasa hari pertama persembahan.

"Walaupun ada sedikit tidak berpuashati dengan masalah teknikal semasa hari pertama teater ini, namun saya yakin mesej yang hendak disampaikan, sampai. Saya akan memperbaikinya pada hari kedua persembahan," katanya semasa ditemui selepas persembahan Teater Atas Pokok di Taman Tasik Shah Alam di sini pada Sabtu.

Beliau juga bercadang untuk meneruskan teater atas pokok di lokasi sebenar sebuah pokok beringin di Jalan Gombak untuk mendapatkan 'mood sebenar' dalam mengarahkan persembahan teater.

"Kita bercadang untuk buat sekali lagi di sana, sebab kita rasa itu yang boleh memuaskan hati kita.

"Contoh kalau nak buat aksi stunt masa panjat pokok, ia ada seni sendiri kalau buat di sana, jadi kita cadang nak buat sekali lagi di sana (Jalan Gombak)," ujar beliau.

Teater Atas Pokok sekali lagi bakal dipersembahkan kepada orang ramai pada 17 April jam 9 malam.