HIBURAN
Teater “Cik Ros” angkat legasi Allahyarham Rosminah Tahir

Siti Rohaya (kiri) dan Amy Mastura berkongsi kisah di sebalik teater “Cik Ros” dalam rancangan Awani Pagi sebagai penghormatan kepada Allahyarham Dr Rosminah Tahir.
KUALA LUMPUR: Sebagai tanda penghormatan kepada tokoh seni persembahan tanah air, Allahyarham Dr Rosminah Tahir, sebuah pementasan teater berjudul “Cik Ros” bakal dipersembahkan di Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), bermula esok (19 September) hingga 21 September ini.
Teater arahan Hamzah Tahir ini diterbitkan oleh aktivis teater ternama, Siti Rohaya Attan itu menghimpunkan pengalaman pelakon, tenaga produksi, rakan seangkatan serta bekas pelajar Allahyarham sepanjang hampir lima dekad beliau berbakti dalam dunia seni persembahan.
Menurut Siti Rohaya, naskhah ini lahir daripada semangat generasi baharu yang ingin mengangkat kisah Cik Ros, walaupun pada awalnya beliau enggan menerajui projek tersebut.
“Ini hasil kerja generasi baharu. Saya cuma tolong di belakang tabir. Jadi kami pun mulakan perjalanan. Apa cerita yang kami nak angkat. Kami tak ada skrip. Kita pilih pelakon dulu. Untuk pelakon kami tanya, sama ada mereka punya pengalaman dengan Cik Ros... maka angkatlah cerita itu,” katanya.Tambahnya lagi, teater ini digambarkan sebagai satu usaha untuk generasi akan datang memahami mengapa sosok yang tegas, garang dan kelihatan angkuh itu masih dikenang sehingga kini.
Sementara itu, pelakon dan penyanyi terkenal, Amy Mastura turut memberi jaminan bahawa pementasan ini akan membawa penonton lebih dekat mengenali Cik Ros.
“Siapa yang mengenali Cik Ros, mereka akan mengimbau kembali, apabila mereka bersama Cik Ros suatu ketika dahulu. Dan siapa yang belum mengenali Cik Ros, bila datang menonton, mereka akan lebih mengenali, seperti berkenalan dengan Cik Ros, walaupun orangnya sudah tiada,” ujar Amy.
Pementasan teater “Cik Ros” dianjurkan oleh CTRA Production dan Abada Global Resources dengan sokongan DBP, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, serta Persatuan Gerakan Anak Seni.
Barisan pelakon hebat tanah air turut menjayakan pementasan ini termasuk Datuk Tamimi Siregar, Amy Mastura, Liza Abdullah, Datuk Ziela Jalil, Zaifri Husin dan Juhara Ayob.
Allahyarham Rosminah atau lebih mesra disapa Cik Ros merupakan tokoh prolifik dalam gelanggang teater.
Beliau menghembuskan nafas terakhir pada 19 September 2024 di kediamannya.
Allahyarham Rosminah pernah dilantik Ketua Jabatan Teater, Akademi Seni Budaya dan Warisan Negara (ASWARA).
Sepanjang hayatnya, Allahyarham Rosminah pernah mengarah teater berskala mega seperti Di Bawah Lindungan Kaabah; Muzikal Tun Mahathir; Muzikal Lantai T Pinkie; Muzikal Ibu Zain; Nyonya; Li Po; Mak Dara Nyonya dan Anugerah.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami