MALAYSIA

Tekad dua pelajar ubah nasib keluarga melalui pendidikan

Bernama 28/09/2025 | 11:22 MYT
Pelajar ditemani ahli keluarga membawa barangan masing-masing ketika hadir pada sesi pendaftaran pelajar baharu UMT sesi 2025/2026 hari ini. - Gambar/ Bernama
KUALA NERUS: Faktor kesusahan tidak menghalang dua pelajar baharu Universiti Malaysia Terengganu (UMT) meneruskan pengajian dalam bidang masing-masing demi mengubah nasib keluarga.


Ringkasan AI
  • Dua pelajar baharu UMT, Ajwad Hafiy dan Farzana Nur Shakila, tetap meneruskan pengajian walaupun berdepan kesulitan kewangan demi mengubah nasib keluarga, dengan sokongan bantuan Bingkas Kasih dan Zakat Al-Amin UMT.
  • Ajwad memilih bidang perakaunan di UMT berdekatan rumahnya untuk menjimatkan kos, manakala Farzana menyambung pengajian dalam bidang kaunseling walaupun keluarganya bergantung kepada bantuan ibu saudara dan zakat untuk menyara kehidupan.
  • UMT menerima 2,105 pelajar baharu termasuk 15 pelajar antarabangsa bagi sesi akademik 2025/2026, serta memperkenalkan tiga program baharu selaras dengan keperluan semasa negara dan memulakan kuliah di Kampus Bukit Kor, Marang.


Walaupun diuji dengan masalah kewangan, Ajwad Hafiy Azrul Hisham, 19, dan Farzana Nur Shakila Mohamad Sharudin, 20, yang juga penerima bantuan program Bingkas Kasih dan Zakat Al-Amin UMT menanam tekad untuk menamatkan pelajaran dengan cemerlang, seterusnya membawa keluarga masing-masing keluar daripada kepompong kemiskinan.

Ajwad Hafiy yang merupakan anak sulung daripada tiga beradik berkata pada awalnya, dia tidak berhasrat untuk menyambung pelajaran walaupun mendapat keputusan Gred Purata Nilai Kumulatif (CGPA) 4.0 dalam program Matrikulasi di Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

Bagaimanapun, dorongan kuat ibunya, Monaliza Hashim, 43, membuatkan dia menukar fikiran dan memohon kemasukan dalam bidang perakaunan di UMT yang berdekatan dengan tempat tinggalnya di Kampung Ladang, Kuala Terengganu bagi menjimatkan kos perbelanjaan.

"Ibu seorang ibu tunggal dan hanya bekerja sebagai pembantu kedai makan dengan pendapatan sebanyak RM50 sehari.

"Pada awalnya, saya ingat hendak bekerja dahulu untuk menanggung dua lagi adik yang bersekolah, tetapi ibu tidak bersetuju dan suruh sambung belajar kerana itulah satu-satunya cara untuk mengubah nasib kami sekeluarga," katanya ketika ditemui pada hari pendaftaran pelajar baharu UMT sesi 2025/2026, di sini hari ini.

Sementara itu, Farzana Nur Shakila yang menyambung pengajian dalam bidang kaunseling berkata kehidupan mereka sekeluarga hanya bergantung pada ihsan ibu saudara yang menghulurkan bantuan sebanyak RM600 sebulan.

Farzana Nur Shakila yang juga anak sulung daripada empat beradik berkata ibunya Faizura Embong, 43, tidak dapat bekerja kerana menghidap penyakit darah tinggi dan kencing manis yang teruk.

"Ibu dan ayah sudah lama bercerai. Sejak kecil kami berempat memang tinggal dengan ibu. Rumah sewa yang kami tinggal sekarang pun dibayar dengan wang zakat Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM).

"Disebabkan masalah kewangan, adik perempuan saya Nur Syafiqah Aleya, 17, berkorban untuk tidak sambung belajar dan bekerja bagi menyara dua lagi adik yang masih belajar di tingkatan dua dan darjah empat.

"Saya datang mendaftar hari ini pun dengan menaiki van UMT kerana tidak ada pengangkutan sendiri. Insya-Allah saya akan balas jasa baik dengan mengharumkan nama UMT suatu hari nanti," katanya yang berasal dari Bukit Payong, Marang.

Sementara itu, Naib Canselor UMT Prof Dr Mohd Zamri Ibrahim berkata sebanyak 2,105 orang termasuk 15 pelajar antarabangsa telah mendaftar sebagai mahasiswa baharu UMT bagi Program Sarjana Muda Sesi Akademik 2025/2026.

Mohd Zamri berkata pada tahun ini juga, UMT memperkenalkan tiga program baharu, iaitu Sarjana Muda Teknologi Tenaga Boleh Diperbaharui, Sarjana Muda Teknologi dan Sarjana Muda Sains Gunaan (Teknologi Maritim).

"Penawaran program baharu ini selaras dengan keperluan semasa negara ... untuk tahun ini juga UMT akan memulakan kuliah di Kampus Bukit Kor, Marang yang menempatkan 332 pelajar dalam tiga program pengajian di bawah Fakulti Sains Makanan dan Agroteknologi," katanya.

-- BERNAMA





#kemiskinan #pendidikan #umt #Mohd Zamri Ibrahim