Skip to main content

Malaysia

Teknologi AI, aset moden perhebat kawalan keselamatan ESSZone - Hajiji

Lahad Datu memainkan peranan penting dalam memastikan keselamatan dan kestabilan kawasan ESS Zone terus terpelihara. Ketika berucap pada Program Jelajah SMJ di Lahad Datu, saya menegaskan bahawa pengukuhan keselamatan di kawasan ESS Zone akan terus diperkasakan melalui penggunaan teknologi canggih termasuk kecerdasan buatan (AI), dron, radar dan analisis data raya bagi memastikan pemantauan yang lebih berkesan serta respons yang lebih pantas terhadap sebarang ancaman.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata langkah itu melibatkan pemodenan aset sedia ada selain penggunaan teknologi dron dan radar bagi memastikan pengawasan ruang udara serta perairan yang lebih efektif. - Foto Facebook Hajiji Noor

LAHAD DATU: Sabah akan terus memperhebat tahap keselamatan di Zon Selamat Sabah Timur (ESSZone) melalui penggunaan teknologi canggih termasuk kecerdasan buatan (AI) menjamin kestabilan dan pertumbuhan ekonomi negeri berkenaan.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata langkah itu melibatkan pemodenan aset sedia ada selain penggunaan teknologi dron dan radar bagi memastikan pengawasan ruang udara serta perairan yang lebih efektif.

"Integrasi analisis data raya juga akan diperluas untuk membolehkan agensi keselamatan membuat pemantauan menyeluruh dan memberikan respons yang lebih pantas terhadap sebarang bentuk ancaman.

“Inisiatif tersebut selari dengan kerangka Hala Tuju Sabah Maju Jaya 2.0 yang menekankan pengukuhan sistem keselamatan bukan sahaja dari sudut fizikal malah merangkumi aspek pertahanan digital,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata jaminan keselamatan jitu ialah prasyarat utama dalam membina keyakinan pelabur yang secara langsung akan memberi impak positif kepada kesejahteraan rakyat dan aktiviti ekonomi setempat.

Hajiji juga berkata pembangunan di ESSZone akan dilaksana secara holistik dengan mengimbangi keperluan pertahanan serta pemerkasaan sosial dan ekonomi bagi memastikan kawasan itu terus berkembang.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video