KUALA LUMPUR: Makmal analisis jenayah mata wang kripto yang mula beroperasi sejak 2021 merekodkan pencapaian membanggakan dan berjaya menyelesaikan kes-kes besar antaranya penipuan mata wang kripto melibatkan kerugian bernilai jutaan ringgit.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, makmal itu yang dibangunkan oleh Unit Siasatan Jenayah Cryptocurrency JSJK dilengkapi dengan teknologi canggih, dikendalikan pegawai dan anggota JSJK berpengalaman serta berkemahiran tinggi.

Beliau berkata, unit itu mampu menyediakan perkhidmatan analisis siasatan yang unggul dan berkualiti menggunakan peralatan terkini, dengan makmal berkenaan turut berperanan menganalisis transaksi, mengesan dan mengenal pasti pengguna.

"Sebagai contoh, kes kematian Nora Anne Quoirin pada 2019 apabila keluarga remaja itu menerima emel meminta wang tebusan dalam bentuk mata wang kripto.

"Berdasarkan analisis yang dijalankan, emel itu dipercayai hanya bersifat mengambil kesempatan atas situasi yang sedang berlaku dan penghantar emel tidak mempunyai kaitan dengan kematian remaja berkenaan," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Ramli berkata, tujuan analisis transaksi ini dijalankan adalah untuk mendapatkan titik lemah setiap transaksi mata wang kripto yang dijalankan oleh penjenayah.

"Pegawai-pegawai penyiasat di peringkat kontinjen dan daerah yang menjalankan siasatan melibatkan kes-kes berkaitan mata wang kripto akan mengemukakan permohonan untuk menjalankan analisis transaksi kepada Unit Siasatan Jenayah Cryptocurrency," katanya.

Ramli berkata, pihaknya menerima 179 permohonan daripada pegawai penyiasat untuk membuat analisis mata wang kripto dari 2018 sehingga 31 Dis 2023.

"Bagaimanapun, unit ini turut menerima pemohonan bagi tujuan risikan, operasi khas, dan lain-lain permohonan untuk menjalankan analisis transaksi cryptocurrency dan jumlah keseluruhan secara tidak rasmi dianggarkan lebih kurang 500 analisis yang telah dijalankan.

"Berdasarkan permohonan menjalankan analisis yang diterima daripada pegawai penyiasat, didapati antara kes paling tinggi yang dipohon oleh pegawai penyiasat untuk dijalankan analisis adalah kes-kes melibatkan pelaburan mata wang kripto yang menjanjikan pulangan tinggi kepada pelabur dalam jangka masa yang singkat," katanya.

Selain itu, Ramli berkata, unit berkenaan telah menerima sebanyak 5,507 laporan polis di seluruh negara bagi tempoh lima tahun (2019-2023) berkaitan kes penggunaan mata wang kripto sebagai medium pembayaran antaranya di dalam penipuan pelaburan mata wang kripto, tipu jual beli mata wang kripto, macau scam serta ransomware.

Menurutnya, pemantauan dan siasatan JSJK telah mengesan terdapat aktiviti meragukan melalui mata wang kripto dan dijangkakan kes penipuan mata wang kripto akan terus meningkat dari tahun ke tahun dengan adanya kemajuan teknologi blockchain.

"Selain itu, JSJK juga mengesahkan ada mengesan sindiket mencuci wang haram yang beroperasi di Malaysia dengan menggunakan lapisan transaksi.

"Sindiket-sindiket ini menggunakan platform exchanger yang tidak berdaftar dengan pihak Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, atau menggunakan perkhidmatan 'peer-to-peer' untuk menukar cryptocurrency kepada mata wang fiat," katanya. - BERNAMA