Ringkasan AI
- Teknologi kuantum berpotensi menjadi pemacu ekonomi baharu Malaysia, selari dengan tumpuan global terhadap kecerdasan buatan, semikonduktor dan pengkomputeran berprestasi tinggi.
- Teknologi kuantum merangkumi komputer, komunikasi dan penderia kuantum, serta mampu menyelesaikan masalah kompleks dan menawarkan keselamatan komunikasi lebih tinggi.
- Pembangunan bakat tempatan perlu dipercepatkan agar Malaysia tidak ketinggalan, dengan UTM aktif menjalankan penyelidikan dan kerjasama antarabangsa dalam bidang ini.
JOHOR BAHRU: Teknologi kuantum berpotensi menjadi antara pemacu ekonomi baharu Malaysia dalam tempoh akan datang, khususnya ketika dunia semakin memberi tumpuan kepada bidang kecerdasan buatan, semikonduktor dan pengkomputeran berprestasi tinggi.
Pensyarah Kanan Fakulti Sains Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Yap Yung Szen berkata teknologi kuantum bukan lagi sekadar bidang penyelidikan, sebaliknya sedang berkembang sebagai ekosistem ekonomi baharu yang mendapat perhatian negara-negara maju.
"Teknologi kuantum mempunyai keupayaan untuk menyelesaikan masalah yang sangat kompleks pada kadar yang jauh lebih pantas berbanding komputer konvensional. Sebab itu banyak negara mula melabur secara agresif dalam bidang ini," ujarnya.
Menurut beliau, teknologi kuantum merangkumi tiga cabang utama iaitu komputer kuantum, komunikasi kuantum dan penderia kuantum.
"Komputer kuantum mampu membantu menyelesaikan masalah yang mungkin mengambil masa terlalu lama menggunakan komputer biasa, manakala komunikasi kuantum pula menawarkan tahap keselamatan yang jauh lebih tinggi," jelasnya.
Beliau berkata potensi teknologi kuantum bukan sahaja terhad kepada sektor teknologi malah boleh dimanfaatkan dalam bidang kesihatan, pertahanan, tenaga, kewangan dan pembuatan.
"Apabila teknologi ini matang, ia boleh membuka peluang ekonomi baharu dan mewujudkan industri bernilai tinggi yang mampu meningkatkan daya saing negara," katanya.
Dr Yap berkata pembangunan bakat merupakan antara aspek paling kritikal kerana negara memerlukan tenaga mahir dalam bidang tersebut lebih awal sebelum teknologi kuantum digunakan secara meluas.
"Kalau kita tunggu sehingga teknologi itu matang sepenuhnya, mungkin sudah terlambat. Sebab itu pembangunan bakat perlu bermula sekarang," katanya lagi.
Beliau berkata UTM kini aktif menjalankan penyelidikan dalam bidang kuantum serta bekerjasama dengan institusi antarabangsa bagi memperkukuh kapasiti penyelidikan dan pembangunan teknologi berkenaan.