KUALA LUMPUR: Teknologi dalam sektor pertanian hanya boleh dianggap berjaya sekiranya penggunaannya mampu meningkatkan hasil pengeluaran dan menambah pendapatan petani, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu.
Beliau berkata perkara itu antara pendekatan yang dibincangkan pada Mesyuarat Menteri-Menteri Keselamatan Makanan APEC ke-11 di Hangzhou, China yang turut memberi tumpuan kepada penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan teknologi dalam sektor pertanian.
“AI penting, teknologi penting tapi akhirnya, ukuran kejayaan bukan pada secanggih mana sistem kita. Ukuran sebenarnya ialah hasil petani bertambah, pendapatan mereka meningkat dan makanan rakyat sentiasa cukup. Itu baru teknologi yang ada guna,” katanya menerusi hantaran di Facebook malam tadi.
Mohamad berkata dalam mesyuarat itu, beliau juga berkongsi komitmen Malaysia untuk memperkasa sektor pertanian negara, antaranya peluasan penggunaan teknologi melalui Program Sawah Padi Pintar Berskala Besar (SMART SBB), yang kini melibatkan 18,650 pesawah di 92 lokasi membabitkan lebih 46,500 hektar kawasan sawah.
“Penggunaan mekanisasi, pengurusan yang lebih tersusun dan teknologi membolehkan sesetengah kawasan mencapai hasil sekitar enam hingga tujuh tan metrik sehektar,” katanya.
Mohamad berkata perkembangan itu menunjukkan penggunaan teknologi yang bersesuaian serta pengurusan yang baik mampu meningkatkan hasil pengeluaran petani.
Beliau turut berkongsi pengalaman peribadi mempraktikkan teknologi pertanian menerusi ternakan ikan tilapia menggunakan sistem bioflok, yang mampu menghasilkan sekitar 450 kilogram ikan bagi setiap tangki berdiameter enam meter.
“Kalau kita hendak buat dasar untuk petani dan penternak, sekali-sekala kena turun dan rasa sendiri kerja mereka, baru kita tahu teknologi mana yang betul-betul membantu,” katanya.
-- BERNAMA