DREBAR
Teknologi unik udara+enjin petrol Peugeot


Di sini Peugeot tampilkan model ‘demo’ 208 Hybrid Air 2L yang dipertontonkan di pameran kereta Paris yang sedang berlangsung. Nama kereta ini sendiri (iaitu 2L) membawa makna 2 liter untuk setiap 100 kilometer.
Bagaimana pihak mereka mendapat prestasi sedemikian? Pertama: kurangkan berat. Model ini hanya seberat 860kg, iaitu 100kg lebih rendah daripada model asasnya – 208 1.2-litre PureTech.
Penggunaan komposit karbon juga digunakan untuk panel badan, bahagian sisi, pintu dan bumbung. Bahkan, gegelung spring juga diperbuat daripada komposit ini, secara langsung mengurangkan berat ‘unsprung’ untuk menambah baik mutu pengendalian.
Namun begitu, sistem pendorongnya sangat unik; mungkin terlalu unik. Ia digerakkan oleh enjin hibrid yang menggabungkan enjin petrol dan udara termampat. Udara bertekanan tinggi ini digunakan untuk membantu ataupun menggantikan tugas enjin petrol sewaktu pecutan atau memulakan pemanduan.
Sistem in merangkumi sebuah tangki udara bertekanan tinggi yang terletak di bawah boot, sebuah tangki tekanan rendah berdekatan gandar belakang sebagai ruang untuk udara tersebut berkembang, dan sistem hidrolik (sebuah pam dan motor di dalam ruang enjin).

Sewaktu mod Udara (ZEV) kenderaan ini bergerak menggunakan udara termampat sahaja sekaligus tidak menggunakan bahan api dan tidak menghasilkan gas ekzos. Mod Petrol pula hanya menggunakan enjin 1.2 liter, sesuai untuk perjalanan lebih laju di lebuhraya.
Mod kombinasi pula sesuai dengan fasa transisi sewaktu pemanduan kawasan bandar yang memerlukan pecutan dan penggunaan brek kerap. Kedua-dua sumber tenaga (udara dan enjin) digunakan mengikut kesesuaian bagi mendapatkan penggunaan bahan api optima.
Udara termampat di dalam tangki diisi semula setiap kali kereta diperlahankan (sewaktu brek ataupun pedal kuasa dilepaskan). Selain itu, udara yang ada juga boleh dimampatkan menggunakan kuasa daripada enjin petrol 3-silinder sedia ada. Tekanan udara maksimum di dalam tangki boleh dicapai dalam masa hanya 10 saat.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami