[TERKINI] Polis Kenal Pasti Peserta Program Motivasi Rumah Tangga eHati – Amaran Tangkapan Jika Enggan Bekerjasama – Ikuti Perkembangan Di Sini
NATIONAL

Tekong darat bawa tujuh pendatang asing maut kereta terbabas

Bernama 28/05/2025 | 21:45 MYT
Menurut polis, kenderaan suspek terbabas dan melanggar longkang konkrit di laluan bertentangan semasa melarikan diri daripada APMM melalui Jalan Kebakat. - Foto PDRM Kelantan
KOTA BHARU: Seorang tekong darat yang membawa tujuh pendatang tanpa izin maut selepas kereta dipandunya terbabas semasa dikejar Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di Jalan Bunut Sarang Burung-Kampung Kebakat, Tumpat, semalam.

Ketua Polis Daerah Tumpat ACP Mohd Khairi Shafie berkata kejadian berlaku pada 6.50 pagi, dan suspek berusia 34 tahun yang bekerja sebagai buruh meninggal dunia pada 10 pagi semasa menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini, akibat parah di dada.

"Suspek memandu Proton Perdana membawa tujuh warga asing Myanmar berusia antara 20 hingga 42 tahun dari arah Bunut Sarang Burung, Tumpat menuju ke Kota Bharu.

"Kenderaan suspek terbabas dan melanggar longkang konkrit di laluan bertentangan semasa melarikan diri daripada APMM melalui Jalan Kebakat," katanya dalam kenyataan semalam.

Mohd Khairi berkata tujuh pendatang tanpa izin itu turut dirawat di hospital sama.

Kemalangan disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 manakala kesemua warga asing mengikut Akta Imigresen 1959/63.

Polis meminta orang ramai mempunyai maklumat membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat Insp Muhammad Luqman Al-Hakim Awang melalui talian 09-7257222.

-- BERNAMA

#pendatang asing maut #kereta terbabas #tekong darat #Polis Tumpat