Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam sejahtera.
Rakan-rakan yang saya muliakan, kita telah menyuarakan kebimbangan kita kerana konflik Asia Barat berikutan serangan Israel dan Amerika Syarikat ke atas Iran telah menjalar ke negara-negara serantau dan kini kesannya tempiasannya sudah melanda ke seluruh dunia termasuk negara kita tercinta, Malaysia.
Advertisement
Dan dari perbualan saya dengan Presiden Iran, pimpinan negara-negara Teluk, Arab Saudi, Turkiye, Mesir, dan juga kunjungan singkat saya ke Indonesia bersama Bapak Prabowo semuanya menyatakan bahawa keadaan akan lebih parah sebelum dapat dipulihkan dan tentunya akan mengambil masa yang jauh lebih panjang.
Bila perkara ini berlaku dia tentunya jejaskan rantaian bekalan global khususnya tenaga dari Malaysia tidak terkecuali, cuma kita harus bersyukur kehadrat Allah SWT kerana kita memasuki fasa ini dalam keadaan ekonomi yang relatif lebih stabil dan kita dapat bertahan RON95 umpamanya dengan RM1.99 itu mengejutkan kerana kalau lihat kos dan harga minyak dengan orang terpaksa beratur ada catuan di negara- negara rantau itu tentunya merimaskan.
Jadi bila keadaan ini melegakan sedikit tidak bermakna kita boleh selesa, penyakit mana-mana masyarakat baik keluarga kita atau negara kita, kalau kita agak terlalu selesa dan ambil pandang ringan sahaja, enteng ini akan mungkin mengundang masalah yang lebih berat.
Kita harus terima kenyataan bahawa keadaan tidak seperti biasa. Kalau keadaan itu mencemaskan, maka kita juga mesti bertindak sesuai dengan tuntutan masa dan kita mesti ikut rancangan kita.
Kita telah menubuhkan Majlis Tindakan Ekonomi Negara dan memilih tokoh-tokoh yang sangat berwibawa
membantu Kerajaan dalam bidang ini. Kita telah mengadakan beberapa program khas baik Jemaah
Menteri, Jawatankuasa-Jawatankuasa Khas supaya penggunaan bahan api itu terkawal, bekalan tenaga
terjamin dan kita ucap terima kasih kerana perancangan PETRONAS dapat membantu kita kerana menyediakan minyak, gas yang mencukupi sekurang-kurang melangkau sehingga bulan Mei dan ini sangat membantu rakyat dan negara.
Sebelum ini kita umumkan bahawa kita akan ambil langkah awal dan ini termasuklah sambutan-sambutan aidilfitri yang lebih terkawal dan Kerajaan akan mengurangkan dengan langkah-langkah penjimatan dan sambutan yang jauh lebih sederhana.
Saya ucap setinggi-tinggi penghargaan terima kasih kepada semua yang mengikuti semangat ini dan tidak
angkuh tidak boros tidak anggap keadaan itu biasa mempamerkan kekayaan sewenang-wenang dan
menunjukkan seolah-olah tidak ada yang terkesan sikap ini akan merugikan kita kerana rakyat di bawah sana petani, nelayan, pekerja masih ramai yang terhimpit.
Jadi golongan yang agak kaya yang tinggi kedudukan mereka jangan alpa tunjukkan keprihatinan dan bantu dalam keadaan yang menekan ramai rakyat. Tetapi oleh kerana kita tahu kesannya, dari segi kerajaan kuota BUDI MADANI 95 itu diselaras kepada 200 liter sebulan bermula hari ini sebagai langkah sementara.
Kemudian pengisian diesel bersubsidi Sabah, Sarawak dan Labuan mula dikuasakan dan hari ini, Mesyuarat Jemaah Menteri bersetuju melaksanakan dasar bekerja dari rumah bagi kementerian, agensi serta badan berkanun dan syarikat berkaitan kerajaan bermula 15 April 2026.
Tujuannya, mengurangkan penggunaan bahan api, memastikan kemampanan bekalan tenaga. Perincian
lanjut akan diumumkan nanti dalam masa yang sama, saya ingin tegaskan bahawa kerajaan bertindak menampan impak krisis tenaga global ini menerusi Inisiatif Sokongan Rakyat.
Berapa jumlah belanja untuk menyerap impak minyak yang meningkat ini? RM4bilion satu bulan. Jadi ini bukan perkara kecil orang-orang yang menyinggung hal ini harus tahu bahawa kerajaan membantu rakyat tambahan RM4 bilion ringgit, ini untuk menahan. Tetapi tentu keupayaan itu terbatas dan lihatlah pengalaman negara-negara lain jadi kalau ada cadangan lain baik dari kalangan peniaga, nelayan pekerja sila kemukakan, Majlis Tindakan Ekonomi, jawatankuasa berkenaan jemaah menteri itu setiap hari
ada perjumpaan dan kita memanggil wakil-wakil termasuk saya sendiri akan memanggil baik kontraktor kecil ataupun wakil nelayan, petani untuk mendengar keluhan mereka dan cuba menampung dan membantu sekadar yang kita mampu.
Usaha lain yang dipergiatkan termasuk apa yang agak kritikal iaitu jaminan bekalan tenaga negara. Pelbagaikan sumber import minyak dan gas dari negara lain yang ini yang telah kita umumkan dan sekali lagi kerana kejayaan syarikat minyak negara kita Petronas mengendali dengan baik
Saudara-saudari yang dimuliakan,
Kita bekerja dalam keadaan yang luar biasa dengan cabaran yang meningkat tetapi ini tidak mungkin
memadamkan karenah orang-orang yang terus berdusta, membenci, sabotaj dan khianat. Berapa banyak berita-berita palsu tentang kenaikan harga minyak, tentang kenaikan harga barang kerana dasar-dasar yang tidak benar?
Maka, kita tidak ada pilihan melainkan memohon pihak berkuasa, baik PDRM atau Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengambil tindakan, kerana setakat ini SKMM telah mengesan 96 kandungan berita palsu mengenai harga minyak dan elektrik di media sosial.
Tujuan apa? Rakyat susah, negara tercabar dan terpaksa mengambil tindakan akibat peperangan di kawasan negara lain tetapi yang mereka teruskan ialah langkah khianat kepada negara dan kepada rakyat dengan memperhebahkan cerita palsu, memperjudikan nasib rakyat semata-mata untuk meraih keuntungan politik murahan dan kelangsungan politik sempit.
Jadi saya ingin sekali lagi menyeru rakyat memilih, menyaring berita dan mencari fakta yang betul dan cuba
sama-sama memantau keadaan, semak dengan rapi dan mengambil langkah untuk menyelamatkan keluarga kita, masyarakat kita dan negara kita.
Dan saya mendoakan terhadrat Allah SWT, mudah-mudahan usaha kita diberkati dan negara kita sentiasa
mendapat perlindungan Allah subhanahu wa ta'ala.
Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.