Akta berkaitan perkhidmatan e-hailing yang bakal mewujudkan persaingan sama rata dalam kalangan pemandu akan diwartakan selewat-lewatnya pada Jun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nancy Shukri berkata garis panduan operasi yang selama ini membebankan pemandu teksi akan terhapus sebaik saja akta perkhidmatan e-hailing diwartakan.

Beliau berkata, menerusi garis panduan operasi baharu itu, pemandu teksi hanya perlu menghantar kenderaan ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) sekali setahun berbanding setiap enam bulan.

"Syarat yang selama ini sering dilabel menyusahkan pemandu teksi, sekali gus memberi bebanan terhadap pengoperasian mereka akan terhapus apabila akta perkhidmatan e-hailing diwartakan.

"Jadi, tiada lagi kerenah garis panduan operasi yang menuntut pemeriksaan di Puspakom dan penggantian tayar mengikut peruntukan lama.

"Bayaran untuk semua operator e-hailing pula adalah sama," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan Datuk Seri Abdul Ghapur Salleh (BN-Kalabakan) yang mengutarakan rungutan pemandu teksi bahawa 'periuk nasi' mereka terjejas susulan kemunculan operator Grabcar dan Uber di Sabah sekaligus menggambarkan kerajaan gagal menangani isu tersebut.

Malah, pihaknya turut mengadakan makmal mencakupi pakar daripada pelbagai latar belakang dalam merangka penyelesaian segera dan menyeluruh terhadap isu pertembungan pengusaha teksi dan perkhidmatan e-hailing.

Katanya, penganjuran makmal itu akhirnya membawa kepada pindaan Akta Pengangkutan Awam Darat dan Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan.