[TERKINI] AS Turunkan Tarif ke 19% Terhadap Malaysia – Semak Laporan Penuh Di Sini
MALAYSIA

Telekesihatan, e-perubatan bakal dilaksana di Sabah, Sarawak hujung tahun ini - Fahmi

Bernama 30/07/2025 | 08:30 MYT
Fahmi berkata ketika ini sebanyak 1,099 NADI beroperasi di seluruh negara, dengan Sarawak mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 156 pusat diikuti Sabah dengan 131 pusat. - Gambar fail
PUTRAJAYA: Perkhidmatan teleperubatan dan e-kesihatan dijangka mula beroperasi di beberapa lokasi terpilih di Sabah dan Sarawak, khususnya di kawasan luar bandar menjelang hujung tahun ini, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.

Beliau berkata Kementerian Komunikasi bersama Kementerian Kesihatan (KKM) sedang merangka pelaksanaan penghantaran ubat-ubatan menggunakan teknologi dron dari klinik kesihatan luar bandar ke Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) terdekat, bagi memudahkan penduduk mendapatkan akses kepada perkhidmatan saringan dan rawatan asas.

Fahmi berkata ketika ini sebanyak 1,099 NADI beroperasi di seluruh negara, dengan Sarawak mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 156 pusat diikuti Sabah dengan 131 pusat.

"Daripada jumlah tersebut, 700 NADI terletak di kawasan luar bandar menjadikannya infrastruktur itu asas penting bagi peluasan perkhidmatan teleperubatan dan e-kesihatan.

"Dengan inisiatif ini, sesi konsultasi kesihatan dapat dilakukan secara dalam talian melalui panggilan video," katanya kepada media selepas majlis perhimpunan Kementerian Komunikasi di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa, Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj.


#Fahmi Fadzil #teleperubatan #e-kesihatan #Sabah dan Sarawak