PUTRAJAYA: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Abd Halim Aman, memberi gambaran lebih ramai individu berprofil tinggi atau 'VIP' yang mempunyai kertas siasatan yang masih belum selesai, akan dipanggil semula.
Beliau berkata, perkara itu susulan penubuhan satu jawatankuasa khas yang dipertanggungjawabkan meneliti semula kertas siasatan lama yang masih belum mempunyai keputusan.
Katanya, terdapat beberapa kertas siasatan yang dibuka sebelum ini tetapi sehingga kini masih berstatus pending tanpa sebarang keputusan dibuat.
"Saya telah menubuhkan satu jawatankuasa bagi meneliti kertas siasatan lama yang tidak berkeputusan.
"Jawatankuasa ini akan menyaring dan meneliti semua kedudukan kes siasatan yang masih belum mempunyai keputusan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat SPRM, di sini, pada Rabu.
Abd Halim berkata, setiap kertas siasatan yang diteliti akan diangkat kepada jawatankuasa berkenaan untuk menentukan tindakan selanjutnya.
Katanya, antara perkara yang akan dinilai ialah sama ada kes berkenaan wajar diteruskan untuk pertuduhan, memerlukan siasatan lanjut atau mempunyai bukti mencukupi dari segi perundangan.
“Selepas penelitian dilakukan, ia akan diangkat kepada jawatankuasa untuk menilai sama ada wajar diteruskan untuk pertuduhan, sama ada wajar dilakukan penyiasatan lanjut atau jika tidak mencukupi dari segi perundangan, diklasifikasikan sebagai NFA (tiada tindakan lanjut),” katanya.
Menurutnya, hasil penelitian itu dijangka menyaksikan beberapa kertas siasatan lama yang sebelum ini masih tertangguh dibawa ke peringkat pertuduhan, sekiranya terdapat asas dan perakuan untuk berbuat demikian.
"Kalau anda sekarang lihat, mungkin akan timbul satu persatu. Asalnya ialah daripada jawatankuasa yang saya lantik untuk meneliti kertas siasatan yang masih belum berkeputusan.
"Selepas daripada ini, akan ada lagi. Kalau ada perakuan untuk pertuduhan, maka akan ada lagi tangkapan dan pertuduhan dilakukan. Jika tidak ada, tidaklah," katanya.
Beliau berkata, langkah itu adalah sebahagian usaha SPRM untuk menyelesaikan kertas siasatan lama yang masih belum mempunyai keputusan.
Katanya, penelitian berkenaan penting bagi memastikan setiap kes lama diberi keputusan berdasarkan bukti dan kedudukan perundangan semasa.
"We want to clear the old file. That's the reason," katanya.