Tembakan bawah mata sebabkan isteri lans koperal maut serta-merta - Polis

Adie Sufian Zulkefli
Mac 5, 2023 09:26 MYT
Menurut polis, ketika kejadian terdapat suspek dan isteri serta bapa dan ibu mangsa di dalam rumah terbabit. - Foto Astro AWANI
KANGAR: Polis mengenal pasti satu das tembakan mengenai bawah mata kiri menyebabkan kematian isteri kepada seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal yang ditemukan di dalam bilik tidur di rumah keluarga mangsa di Kampung Bendang Baru, Simpang Empat dekat sini pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, tembakan itu dipercayai dilepaskan kira-kira jam 7 pagi tadi mengakibatkan mangsa mati serta-merta.
“Ketika kejadian terdapat suspek dan isteri serta bapa dan ibu mangsa di dalam rumah terbabit.
“Suspek melepaskan beberapa das tembakan namun hanya satu tembakan mengenai bawah mata kiri menyebabkan mangsa maut.
“Suspek berusia 27 tahun berpangkat Lans Koperal bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis telah ditahan dan akan mendapatkan reman esok (Isnin),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Yusharifuddin berkata, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar, untuk bedah siasat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Bagaimanapun jelas Yusharifuddin polis masih menjalankan siasatan bagi mengetahui motif kejadian.
#maut ditembak #isteri lans koperal #tembakan #Kangar