TEMCO: 10 sekatan jalan raya ditutup hari ini

Adie Sufian Zulkefli
Ogos 26, 2020 02:49 MYT
KKM menjalankan ujian saringan COVID-19 ke atas 1,397 penduduk di Kampung Sanglang dan Kampung Tanah Timbul serta lebih 7,000 penduduk di Kubang Pasu dan Padang Terap. - Astro AWANI
Sekatan jalan raya (SJR) di semua kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Bersasar (TEMCO) di empat mukim iaitu Kubang Pasu dan Padang Terap ditutup sepenuhnya hari ini.
Menurut Ketua Polis Kedah Datuk Hasanuddin Hassan, 10 SJR di kawasan Kubang Pasu dan Padang Terap dibuka sejak 3 Ogos lalu selepas COVID-19 di bawah Kluster Sivagangga merebak di kawasan tersebut.
Jelasnya, sekatan dilakukan bertujuan menghalang sebarang aktiviti keluar masuk penduduk di kawasan TEMCO bagi mengelak penularan COVID-19.
Dalam pelaksanaan SJR di dua kawasan ini, anggota polis dibantu agensi lain termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) yang ditugaskan menjaga SJR terbabit.
Pada Selasa, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan, empat mukim di Kubang Pasu dan Padang Terap ditamatkan hari ini, lebih awal daripada yang dijadualkan pada 31 Ogos.
BACA: TEMCO di dua kampung bermula 10 Ogos hingga 31 Ogos
BACA: Lebih 100 penduduk, peniaga di Napoh akan saman tauke Nasi Kandar Salleh RM1 juta
Keputusan dibuat selepas mengambil kira tiada kes positif COVID-19 baharu di kawasan itu selain semua penduduk sudah disaring petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
KKM setakat ini menyaring seramai 1,397 penduduk di Kampung Sanglang dan Kampung Tanah Timbul serta lebih 7,000 penduduk di Kubang Pasu dan Padang Terap.
#Alor Setar #COVID-19 #Hasanuddin Hassan #ismail sabri yaakob #kes positif #Kluster Sivagangga #Kubang Pasu #Padang Terap #Penduduk #PKPD #PKPD Bersasar #Sekatan Jalan Raya #TEMCO #tutup #ujian saringan