KUALA LUMPUR: Satu gempa bumi lemah bermagnitud 3.4 dilaporkan melanda kawasan Temenggor di Gerik, Perak pada jam 12.06 tengah malam tadi.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) berkata, gempa berkenaan berlaku pada kedalaman 10 kilometer dengan lokasi pada koordinat 5.5 darjah Utara dan 101.3 darjah Timur.
Menurut MetMalaysia, pusat gempa bumi itu dikesan kira-kira sembilan kilometer di timur laut Hulu Perak.
Gegaran dilaporkan dapat dirasai di beberapa kawasan sekitar Gerik.
Bagaimanapun, tiada laporan segera mengenai sebarang kerosakan atau kecederaan akibat kejadian tersebut.
MetMalaysia memaklumkan pihaknya akan terus memantau keadaan semasa dan menyalurkan maklumat terkini sekiranya terdapat perkembangan lanjut.