Tempoh kuarantin wajib dikurangkan dari 14 kepada 10 hari - Dr Noor Hisham

Astro Awani
Disember 13, 2020 11:16 MYT
Langkah memendekkan tempoh kuarantin itu sama seperti dilakukan di negara lain berdasarkan laporan saintifik semasa. -Gambar fail
KUALA LUMPUR: Tempoh kuarantin wajib bagi pengembara yang pulang dari luar negara serta pengurusan kontak rapat COVID-19 di Malaysia dikurangkan dari 14 hari kepada 10 hari, berkuat kuasa esok.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, langkah itu sama seperti dilakukan di negara lain berdasarkan laporan saintifik semasa.
"Sebelum ini, KKM (Kementerian Kesihatan) telah mengumumkan untuk mengkaji untuk memendekkan tempoh kuarantin di Malaysia ke atas prosedur pengurusan kuarantin wajib kepada pengembara yang pulang dari luar negara dan kontak rapat kepada kes yang disahkan positif COVID-19.
"Ini selaras dengan situasi semasa COVID-19 di Malaysia dan laporan klinikal terkini dari seluruh dunia.
"Ia terpakai bagi perintah pengawasan dan pemerhatian yang dilaksanakan di pusat kuarantin yang diwartakan atau di tempat kediaman," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Beliau berkata, langkah itu diambil berdasarkan pelaksanaan tempoh kuarantin oleh negara-negara lain di dunia dan laporan saintifik klinikal semasa.
"Sehingga kini katanya, beberapa buah negara telah menyemak semula tempoh masa kuarantin wajib di negara masing-masing.
"Negara-negara seperti United Kingdom, Jerman dan Belgium telah menurunkan tempoh kuarantin dari 14 hari kepada 10 hari.
"Perancis pula telah mengambil tempoh masa kuarantin wajib selama tujuh hari," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Katanya, semakan bukti saintifik klinikal terkini mendapati risiko jangkitan pasca-kuarantin akan berkurangan mengikut tempoh masa kuarantin dan kadar kebolehjangkitan adalah tertinggi pada minggu pertama selepas pendedahan.
#KKM #KP Kesihatan #Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah #kes baharu #tempoh kuarantin #dipendekkan #10 hari #COVID-19 #14 hari