Tempoh lesen pengusaha, pemandu pelancong dilanjutkan kepada lima tahun

Bernama
Mac 17, 2023 12:10 MYT
Datuk Seri Tiong King Sing berkata pengusaha dan pemandu pelancong tersebut perlu mematuhi syarat yang ditetapkan kementerian. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bersetuju melanjutkan tempoh sah lesen bagi pengusaha pelancongan serta pemandu pelancong daripada tiga tahun kepada lima tahun.
Bagaimanapun, Menterinya Datuk Seri Tiong King Sing berkata pengusaha dan pemandu pelancong tersebut perlu mematuhi syarat yang ditetapkan kementerian.
"Kalau tidak, sama ada kita (MOTAC) akan batalkan lesen mereka atau kita kurangkan tempohnya," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Pameran Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA Fair) di sini hari ini.
MOTAC adalah kementerian yang menguatkuasakan Akta Industri Pelancongan 1992 (Akta 482) dan Peraturan-Peraturan dengan antara lain melesenkan pengusaha pelancongan di bawah Seksyen 5 dan pemandu pelancong di bawah Seksyen 21.
Dalam perkembangan lain, Tiong berkata MOTAC dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sedang memperincikan cadangan penutupan Jalan Alor, Bukit Bintang di sini daripada dilalui kenderaan dari 5 petang hingga 2 pagi.
Beliau berkata ini kerana terdapat banyak aduan oleh pengunjung serta pejalan kaki di kawasan itu yang bimbang mengenai keselamatan mereka memandangkan banyak kenderaan melalui jalan tersebut.
"Selain itu, kita juga akan menaik taraf Jalan Alor bagi menjadikan ia seperti tempat pelancongan. Kita mahu mewujudkan lebih banyak kedai sebagai tempat pelancongan," katanya.
MATTA Fair diadakan bermula hari ini hingga Ahad bertempat di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) dengan 1,416 reruai dibuka kepada pempamer.
-- BERNAMA
#tempoh lesen #pemandu pelancong #MOTAC #Tiong King Sing