Kerajaan melanjutkan tempoh pembaharuan Lesen Memandu Malaysia (LMM) dan Lesen Kenderaan Motor (LKM) sehingga 30 September ini dengan syarat insurans kenderaan masih berkuat kuasa, kata Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Beliau memberitahu, keputusan itu dibuat susulan pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk melanjutkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sehingga 31 Disember ini.

Pelanjutan itu katanya, adalah bagi mengelakkan kesesakan di kaunter-kaunter agensi-agensi berkaitan.

Sebelum ini, kerajaan menetapkan tarikh pembaharuan lesen masing-masing pada 31 Ogos ini kepada mereka yang tidak dapat berbuat demikian pada tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Beliau berkata, pembatalan pengecualian itu adalah selaras dengan kuasa menteri di bawah Seksyen 66(1)(x) dan 127 (1)(b) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) yang memperuntukkan Kaedah-kaedah Kenderaan Motor (Pengecualian) 2020.

"Ini bermakna, orang ramai yang memiliki LMM dan LKM yang tamat tempoh masih diberi masa untuk memperbaharuinya dalam tempoh 30 hari lagi iaitu sehingga 30 September ini.

"Kita sentiasa memahami keperluan orang ramai dan akan terus memainkan peranan sebagai sebuah kementerian yang prihatin, lebih-lebih lagi pada waktu sukar ketika ini," katanya dalam kenyataan di sini, pada Sabtu.

Ka Siong menjelaskan, pengecualian bagi pembaharuan LMM dan LKM masih berkuatkuasa selagi Perintah Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pengisytiharan Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 masih dikuatkuasakan.

Dalam pada itu, beliau turut menasihati orang ramai yang berkunjung kaunter-kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) atau mana-mana agensi lain supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan bagi memutuskan rantaian COVID-19.