MALAYSIA

Tempoh perkhidmatan Mufti Perak berakhir semalam

Bernama 01/01/2026 | 13:45 MYT
Wan Zahidi menitipkan pesanan bahawa kerjaya dalam bidang kefatwaan adalah sebahagian daripada dunia dakwah yang luas. - Gambar Facebook Jabatan Mufti Perak
IPOH: Tempoh perkhidmatan Mufti Perak Datuk Seri Wan Zahidi Wan Teh, yang dilantik memegang jawatan itu pada 1 Ogos 2022, berakhir semalam.


Ringkasan AI
  • Tempoh perkhidmatan Mufti Perak, Datuk Seri Wan Zahidi Wan Teh, berakhir semalam setelah dilantik pada 1 Ogos 2022.
  • Jabatan Mufti Negeri Perak mengadakan majlis perpisahan bagi Wan Zahidi, di mana beliau menitipkan pesanan mengenai kefatwaan sebagai sebahagian daripada dunia dakwah yang luas.
  • Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim, mengucapkan penghargaan terhadap sumbangan dan kepimpinan Wan Zahidi, yang menggantikan Tan Sri Harussani Zakaria yang meninggal dunia pada 30 Mei 2021.


Jabatan Mufti Negeri Perak menerusi hantaran di laman Facebook memaklumkan bahawa beliau telah diraikan dalam satu majlis perpisahan membabitkan kakitangan jabatan berkenaan.

Menurut jabatan itu, Wan Zahidi ketika menyampaikan ucapan pada majlis berkenaan sempat menitipkan pesanan bahawa kerjaya dalam bidang kefatwaan adalah sebahagian daripada dunia dakwah yang luas.

"Percayalah ia akan membawa kita ke dunia yang lebih jauh," katanya.

Sementara itu, Timbalan Mufti Perak Datuk Zamri Hashim pula merakamkan penghargaan atas sumbangan dan kepimpinan Wan Zahidi sepanjang menerajui institusi kefatwaan di negeri berkenaan.

Wan Zahidi menggantikan Tan Sri Harussani Zakaria yang meninggal dunia pada 30 Mei 2021 di Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini semasa mendapatkan rawatan kerana jangkitan COVID-19.

-- BERNAMA

#COVID-19 #Facebook #meninggal dunia #Mufti Perak