[TERKINI] Gelombang Serangan Baharu Iran-Israel | Trump Timbang Tindakan Ketenteraan AS. Klik untuk laporan penuh.
MALAYSIA

Tempoh PKPP dilanjut sehingga 31 Disember

Faris Danial Razi 28/08/2020 | 12:41 MYT
Muhyiddin berkata demikian dalam perutusan khas mengenai perkembangan terkini PKPP yang disiarkan di televisyen tempatan malam ini.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dilanjutkan sehingga 31 Disember 2020.
“Dengan pelanjutan tempoh PKPP, tindakan penguatkuasaan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 atau Akta 342 masih boleh diambil.
“Ini adalah untuk memastikan semua pihak mematuhi Prosedur Operasi Standard dan protokol kesihatan yang ditetapkan.
Sehubungan itu, Muhyiddin juga menyokong cadangan Kementerian Kesihatan Malaysia untuk menaikkan kadar kompaun bagi kesalahan-kesalahan yang berkaitan.
"Saya juga menyokong untuk menaikkan kadar kompaun bagi kesalahan-kesalahan yang berkaitan sekurang-kurangnya dua atau tiga kali ganda dari kadar sekarang.
"Walaupun begitu perkara ini perlu diperhalusi dan Akta 342 itu perlu dipinda terlebih dahulu. sekurang-kurangnya dua atau tiga kali ganda dari kadar sekarang," tambahnya.
Dalam pengumuman rasmi itu juga, Muhyiddin umum pelanjutan tempoh bagi Tabung COVID-19 yang diurus oleh NADMA turut dikenakan bagi tempoh sama.
“Selaras dengan pelanjutan tempoh PKPP, Tabung COVID-19 yang diurus oleh NADMA juga akan dilanjutkan sehingga 31 Disember 2020.
“Sehubungan itu, pihak-pihak yang ingin menyumbang kepada tabung ini bolehlah berbuat demikian.
“Sumbangan kepada tabung ini akan digunakan untuk membantu mangsa COVID-19 dan menyediakan keperluan-keperluan untuk membendung wabak ini,” jelas Muhyiddin.
Sebelum ini, Malaysia melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lalu bagi membendung penularan wabak COVID-19.
Kemudian, kerajaan mula melonggarkan PKP pada 4 Mei, dengan mengumumkan PKP bersyarat (PKPB) yang kemudian beralih ke PKPP bermula 10 Jun lalu.
#Muhyiddin Yassin #Perdana Menteri #perintah kawalan pergerakan #perintah kawalan pergerakan bersyarat #Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan #PKPB #PKPP #SOP