[TERKINI] Gelombang Serangan Baharu Iran-Israel | Trump Timbang Tindakan Ketenteraan AS. Klik untuk laporan penuh.
MALAYSIA

Tempoh reman isteri CEO Cradle Fund disambung tiga hari

Bernama 10/09/2018 | 08:03 MYT
Kematian Nazrin diklasifikasikan sebagai kes bunuh selepas kesan petrol ditemui di lokasi kebakaran.
Tempoh reman isteri Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund, Nazrin Hassan yang mati dibunuh, disambung tiga hari lagi bagi membantu siasatan kes kematian suaminya yang maut dalam kebakaran, pada 14 Jun lepas.
Majistret Nurulhuda Zakariya membenarkan tempoh reman sehingga Khamis ini bagi membolehkan siasatan terhadapnya dijalankan.
Wanita itu sebelum ini, ditahan polis 4 Sept lalu bersama bekas suaminya dan direman selama seminggu sebelum lelaki itu dibebaskan tiga hari kemudian.
Sementara itu, peguam yang mewakili wanita itu, Hisyam Teh Poh Teik berkata beliau akan mengemukakan bantahan terhadap penahanan reman dua anak tiri mangsa yang ditahan Sabtu lepas, di Mahkamah Tinggi Shah Alam, esok.
Kedua-dua remaja berusia 16 dan 14 tahun itu direman tujuh hari bermula semalam bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Pada 3 Ogos lalu, kematian Nazrin diklasifikasikan sebagai kes bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan selepas siasatan bomba menemui kesan petrol di lokasi kebakaran.
Dalam tragedi 14 Jun itu, Nazrin maut dalam kebakaran di rumahnya di Mutiara Homes, di Petaling Jaya, kira-kira jam 12.20 tengah hari.
Cradle Fund, merupakan syarikat di bawah Kementerian Kewangan berperanan membangunkan usahawan teknologi dan ekosistem syarikat permulaan di negara ini.
#cradle fund #isteri #mati #Nazrin Hassan #Nurulhuda Zakariya #reman #Sambung