Perintah tahanan reman terhadap seorang ketua setiausaha kementerian (KSU) bergelar 'Datuk' dan seorang daripada dua anaknya berhubung kes rasuah dan salah guna kuasa dilanjutkan empat hari lagi.

Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahman membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk melanjutkan perintah tahanan reman KSU berumur 59 tahun dan anak lelakinya yang berumur 34 tahun bermula esok hingga Ahad ini.

Seorang lagi anaknya yang berusia 29 tahun dibebaskan dengan jaminan SPRM.

Mahkamah sebelum ini mengeluarkan perintah reman tujuh hari ke atas KSU dan dua anak lelakinya itu.

Kesemua mereka ditahan pada 4 Jan lepas bagi membantu siasatan menurut Seksyen 23 (1) Akta SPRM 2009 dan Seksyen 165 Kanun Keseksaaan serta Akta Pengubahan Wang Haram.

Terdahulu, KSU dan dua anaknya itu dibawa ke Mahkamah Majistret kira-kira 9.55 pagi dengan menaiki tiga kenderaan berasingan.

Pada 4 Jan lepas, KSU itu ditahan di rumahnya di USJ, Subang pada 8 pagi manakala dua anaknya ditahan selepas memberi keterangan di ibu pejabat SPRM, hari yang sama.

Kedua-dua anak lelaki KSU itu merupakan pengarah urusan dua syarikat berasingan.

-- BERNAMA