MALAYSIA

Temu duga pengambilan AKPS bermula, ramai veteran elit ATM kemuka permohonan - Adly

Bernama 19/12/2025 | 08:00 MYT
Adly berkata rata-rata pemohon adalah dalam kalangan veteran unit khas seperti Gerup Gerak Khas (GGK), Pasukan Khas Laut (PASKAL), Pasukan Khas Udara (PASKAU) serta pasukan payung terjun.
MELAKA: Sesi temu duga bagi pengambilan anggota Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) melibatkan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah mula dijalankan serta menerima sambutan menggalakkan daripada bekas anggota unit elit pasukan keselamatan negara.

Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari berkata rata-rata pemohon adalah dalam kalangan veteran unit khas seperti Gerup Gerak Khas (GGK), Pasukan Khas Laut (PASKAL), Pasukan Khas Udara (PASKAU) serta pasukan payung terjun.

"Sehingga kini memang ramai yang menghubungi saya dan menyatakan minat untuk menyertai AKPS sebagai cara meneruskan perkhidmatan selepas bersara. Kita (Kementerian Pertahanan) mengalu-alukan permohonan mereka namun proses pengambilan, temu duga dan jumlah akhir pengambilan bagi pengisian kira-kira 200 kekosongan jawatan berkenaan dilaksanakan sepenuhnya oleh AKPS.

"Hal ini kerana Kementerian Pertahanan melalui Jabatan Hal Ehwal Veteran hanya berperanan menyelaras senarai veteran yang layak untuk menghadiri sesi temu duga," katanya.

Beliau berkata kepada pemberita pada Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Bangunan Tambahan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri Bukit Katil di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Katil di sini hari ini.

Majis itu dirasmikan Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan turut dihadiri Pengarah Jabatan Kerja Raya Melaka Mohamad Salzeli Moktar.

Adly berkata segala perkembangan mengenai pengambilan itu termasuk jumlah calon yang berjaya akan dikemas kini dari masa ke semasa dengan senarai akhir akan diketahui pada Januari depan.

Pada November lepas, Ketua Pengarah AKPS Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain menyatakan agensi berkenaan akan memulakan pengambilan 220 vateran ATM secara berperingkat mulai Januari depan menerusi inisiatif yang diumumkan dalam Belanjawan 2026.

Mohd Shuhaily berkata pengambilan membabitkan tugasan sokongan tersebut akan dilaksanakan melalui kaedah lantikan secara kontrak selepas peruntukan diterima dan bakal menggunakan model yang diguna pakai Jabatan Pelindungan Hidupan Liar dan Taman Negara.

-- BERNAMA



#AKPS #Adly Zahari #temu duga #VETERAN ATM