KEPALA BATAS: Seorang pekerja sub-kontraktor maut selepas seminggu dirawat di hospital akibat terjatuh ketika menjalankan kerja menukar siling di dewan sebuah institut kemahiran di sini pada Rabu lalu.

Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) Pulau Pinang dalam kenyataannya berkata, mangsa merupakan lelaki warga tempatan berusia 48 tahun terjatuh dari ketinggian 4.58 meter pada jam 5 petang, 12 September lalu.

"Selepas menerima laporan kemalangan itu, sepasukan pegawai penyiasat telah ke lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan. Siasatan awal mendapati, mangsa merupakan pekerja sub-kontraktor yang dilantik untuk menjalankan kerja-kerja selenggaraan dan pembaikan di institut tersebut.

"Sebelum kejadian, mangsa bersama dua orang pekerja lain sedang menjalankan kerja-kerja menukar siling berhadapan pentas di dewan institut itu. Selepas terjatuh, mangsa dilaporkan tidak sedarkan diri dan dikejarkan ke Hospital Kepala Batas.

"Bagaimanapun, selepas lebih seminggu mendapatkan rawatan, mangsa telah disahkan meninggal dunia pada 20 September 2023," katanya pada Jumaat.

Kata DOSH Pulau Pinang lagi, susulan daripada kejadian tersebut, pihaknya telah mengeluarkan satu notis larangan dan bagi aktiviti bekerja di tempat tinggi sehingga langkah-langkah sewajarnya dijalankan oleh pihak berkaitan.

"DOSH Pula Pinang akan mengambil tindakan perundangan ke atas pihak yang bertanggungjawab sekiranya didapati terdapat pelanggaran di bawah peruntukan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.

"Kita memandang serius setiap kemalangan yang melibatkan pekerja atau orang awam. Majikan mempunyai kawalan penuh ke atas sebarang aktiviti di tempat kerja.

"Selain itu, majikan juga bertanggungjawab untuk mengenal pasti terlebih dahulu bahaya di tempat kerja, membuat penilaian risiko dan seterusnya mengadakan kawalan risiko yang berkesan sebelum pekerja menjalankan aktiviti kerja," katanya.

Tambahnya, ia bagi mengurangkan risiko keselamatan ke atas pekerja dan mengelakkan berlakunya kemalangan.

"Kejadian seumpama ini boleh dielakkan jika majikan melaksanakan penaksiran dan kawalan risiko yang komprehensif mengikut kaedah yang dinyatakan dalam Garis Panduan bagi Pengenalpastian Hazard, Penaksiran Risiko dan Kawalan Risiko (HIRARC)," katanya. - Sinar Harian