Belasungkawa Allahyarham Bung Moktar Radin | Ikuti Perkembangan Terkini Perjalanan Terakhir di sini
MALAYSIA

Tenaga mahir GiatMARA jadi landasan peluang kerjaya

Bernama 05/12/2025 | 13:00 MYT
Ketua Pegawai Eksekutif GiatMARA, Ahmad Hamdi Ibrahim bercakap ketika sesi temu bual bersama Bernama mengenai Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di GiatMARA Kuala Lumpur baru-baru ini. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Dunia pekerjaan masa kini menuntut tenaga kerja yang bukan sahaja berpengetahuan tetapi turut memiliki kemahiran tinggi serta kemampuan menyesuaikan diri dengan perubahan pesat industri.

Ketua Pegawai Eksekutif GiatMARA Ahmad Hamdi Ibrahim berkata sejajar slogan institusi latihan itu 'Kemahiran Menjamin Kehidupan', langkah kerajaan menjadikan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai pilihan utama adalah keputusan tepat, selari kehendak semasa pasaran kerja.

"Jadi hasrat kerajaan sangat tepat dengan dasar penubuhan GiatMARA yang mana penubuhannya terus dispesifikkan, satu (kawasan) parlimen satu GiatMARA kerana di setiap parlimen itu ramai belia tetapi tidak semua dapat melanjutkan pelajaran dalam bidang akademik.

"Kemahiran yang ada hari ini berbeza dengan era 90-an. Apabila ekonomi dan industri bergerak, kemahiran juga perlu berkembang seiring dan sentiasa dipertingkatkan," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Beliau berkata pengalaman kerjayanya lebih 20 tahun bersama GiatMARA, membuktikan TVET bukan sekadar laluan alternatif tetapi pintu kepada pelbagai peluang untuk membentuk tenaga kerja berkemahiran tinggi selain menyokong tuntutan industri yang semakin berkembang.

Ahmad Hamdi berkata sejak penubuhan GiatMARA pada Januari 1986, sebanyak 232 cawangan telah ditubuhkan di seluruh Malaysia dengan lebih 100 program sepenuh masa dan lebih 500 program kursus jangka pendek ditawarkan.

"Setakat hari ini program sepenuh masa sahaja kita telah melatih 430,236 orang di seluruh negara dalam pelbagai bidang. Malah GiatMARA juga telah melatih 78,171 orang bagi kursus jangka pendek dalam pelbagai bidang serta peringkat umur dan komuniti," katanya.

Beliau berkata keistimewaan di GiatMARA adalah selepas tamat enam bulan pengajian, para pelatih boleh memilih sama ada meneruskan program di institusi latihan itu sendiri, atau memilih mengartikulasikan pengajian ke dalam program dalaman di Institut Kemahiran MARA, Kolej Kemahiran Tinggi MARA serta institusi lain di bawah MARA.

"Malah mereka juga boleh memilih untuk terus menjadi usahawan dengan bimbingan daripada GiatMARA atau terus bekerja dalam bidang yang telah dikuasai melalui kursus GiatMARA yang diceburi," katanya.

Jelasnya, peluang kerjaya bagi pelatih GiatMARA juga terbuka luas menerusi jalinan kerjasama bersama lebih 50 pemain industri antaranya Motosikal dan Enjin Nasional Sdn. Bhd. (Modenas), Kawasaki Motors Ltd serta Labuan Shipyard and Engineering Sdn. Bhd.

Dalam pada itu, Ahmad Hamdi secara peribadi menzahirkan penghargaan kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Majlis TVET Negara atas komitmen dan keprihatinan beliau terhadap keperluan pembangunan tenaga mahir di negara ini.

Menurutnya, lonjakan pelaksanaan program TVET sebagai pilihan utama dilihat mampu menangani isu yang dihadapi para belia di kawasan pedalaman.

"Cabaran yang dihadapi golongan itu bukan berpunca daripada ketiadaan kemahiran semula jadi, tetapi lebih kepada kekangan kewangan, masalah keluarga serta faktor sosial lain yang membataskan peluang mereka," katanya.

Beliau berkata usaha kerajaan memperkasakan TVET pada masa ini menunjukkan pendekatan yang tepat dan menjadi langkah strategik dalam memastikan golongan belia memperoleh akses kepada kemahiran yang relevan serta peluang pekerjaan yang lebih baik.

"Kerajaan sangat fokus tentang pembangunan modal insan terutama dalam bidang TVET, apabila digubal Dasar TVET negara, secara tak langsung ia membantu melonjakkan program TVET malah kolaborasi antara industri, agensi dan institusi membantu melonjakkan ekonomi negara," katanya.

Mengambil contoh GiatMARA Bagan Datuk yang telah dinaik taraf sebagai Institut Malaysia-China (MCI), institusi itu berperanan melatih tenaga kerja dalam bidang TVET tempatan dengan peluang untuk mengikuti program latihan bertaraf antarabangsa di China.

"Kolaborasi dengan China, membolehkan belia menukar kemahiran (switch skills) dan menyahut hasrat kerajaan untuk memperkukuh ekonomi negara melalui pembangunan set kemahiran dan tenaga kerja yang berdaya saing," katanya.

Beliau juga meminta para belia untuk tidak menganggap kekurangan pencapaian akademik akan menghalang mereka daripada mencapai kejayaan, sebaliknya ia terletak pada usaha dan kesungguhan individu itu sendiri.

"Kemahiran boleh dipelajari dan dilatih, dan kejayaan bergantung kepada sejauh mana seseorang bertekad untuk mencapainya. Saya selalu bila berjumpa anak-anak muda selalu menggunakan akronim G.I.A.T ini.

"G untuk gigih, I untuk istiqamah, A untuk amanah dan T untuk takwa dan tawakal. Insya-Allah, tiada yang mustahil. Kita boleh berjaya dan cemerlang dalam kehidupan, dapat membantu keluarga, masyarakat dan negara, serta menyumbang kepada peningkatan ekonomi negara," katanya.

-- BERNAMA




#GIATMARA #tenaga kerja #tenaga mahir #TVET