Negara mempunyai kapasiti yang cukup untuk merawat gejala ketagihan dadah dengan 377 pakar perubatan psikiatri di sektor awam dan swasta.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata terdapat 191 pakar perubatan psikiatri di kementerian dengan enam dari mereka mempunyai latihan lanjutan subkepakaran dalam ketagihan dadah.

"Kementerian juga mempunyai tiga pakar perubatan keluarga yang menerima latihan khas ketagihan dadah.

"Pada keseluruhannya memang penagih-penagih dadah dalam negara kita kawalan mereka di bawah pegawai-pegawai yang diberi latihan dalam bidang ini dan latihan ini berjalan berterusan.

"Oleh itu apa-apa persepsi yang mungkin wujud daripada berita yang telah dikeluarkan seolah-olah bahawa kita tidak mempunyai jumlah tenaga yang mendapat latihan dalam bidang ini untuk merawat dan mengawal ketagihan dadah di negara ini bukan betul dan tepat," katanya.


Mengikut statistik Kementerian Kesihatan Malaysia, terdapat 414 klinik Methadone di seluruh negara yang menawarkan perkhidmatan rawatan dan ubat-ubatan untuk pesakit dengan masalah ketagihan.

Terdapat sekurang-kurangnya 1,242 anggota kesihatan yand dilatih berkhidmat di klinik Methadone yang boleh didapati di sebahagian hospital dan klinik kerajaan.

Secara keseluruhnnya, klinik-klinik ini merawat seramai 41,265 pesakit ketagihan dadah di seluruh negara.

Baru-baru ini negara digemparkan dengan pelbagai pendedahan masalah ketagihan dadah negara seperti pendedahan dari Persatuan Pengasih Malaysia (Pengasih) dimana 70 peratus daripada semua nelayan di negara mempunyai masalah dadah.