Ringkasan AI
- Kementerian Kesihatan Malaysia akan membuka tender sistem Rekod Perubatan Elektronik (EMR) nasional, dibahagikan kepada empat zon untuk mempercepat pendigitalan kesihatan.
- Pembahagian zon membolehkan lebih banyak syarikat teknologi bersaing, dengan penekanan kepada keseragaman dan keupayaan sistem untuk saling berhubung di seluruh negara.
- Kerajaan memperuntukkan RM1 bilion bagi memperluas pelaksanaan EMR, melibatkan lebih 2,000 klinik kesihatan dan meningkatkan kesinambungan rawatan pesakit.
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan membuka tender pelaksanaan sistem Rekod Perubatan Elektronik (EMR) nasional dalam masa terdekat dengan projek berkenaan dibahagikan kepada empat zon bagi memastikan persaingan terbuka serta mempercepat proses pendigitalan sistem kesihatan negara.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, pendekatan itu bertujuan memberi peluang kepada lebih banyak syarikat yang mempunyai kepakaran dan keupayaan teknologi untuk mengambil bahagian dalam pelaksanaan projek berkenaan, tanpa bergantung kepada satu penyedia tunggal.
Menurutnya, pembahagian zon tersebut turut mengambil kira keperluan pelaksanaan sistem di seluruh negara, termasuk Sabah dan Sarawak, dengan penekanan terhadap keseragaman serta keupayaan sistem untuk saling berhubung.
“...Dalam pelaksanaan (EMR) kami nanti, kita akan bahagikan kepada empat (zon) di seluruh negara. Dan tender (akan) keluar dalam masa terdekat ini. Saya tidak mengambil pendekatan pemenang raih semuanya.
“Maknanya tender ini akan mengizinkan semua pihak yang punya keupayaan untuk bersaing,” katanya dalam program Agenda AWANI pada Isnin.
Beliau menjelaskan, meskipun pelaksanaan projek melibatkan beberapa penyedia teknologi, keseluruhan sistem EMR perlu mempunyai keupayaan saling kendali (interoperability) bagi membolehkan pertukaran dan perkongsian maklumat kesihatan antara fasiliti dilakukan secara bersepadu.
“Pada akhirnya dia akan menjadi, saya sebutkan tadi, interoperable. Dan sistemnya adalah mengikut piawaian Tahap Kesihatan 7 (HL7). Jadi, dia adalah tulang belakang kepada pemodenan sistem kita,” jelasnya.
Dalam Belanjawan 2027 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 9 Oktober lalu, kerajaan mengumumkan pelaburan RM1 bilion menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi mempergiat pelaksanaan projek EMR di fasiliti kesihatan seluruh negara, selaras dengan usaha memperluas perkhidmatan kesihatan digital berasaskan prinsip satu individu, satu rekod.
Peruntukan itu merangkumi tambahan RM350 juta yang diumumkan pada Ogos lalu, menjadikan keseluruhan dana RM1 bilion bagi mempercepat pelaksanaan pendigitalan sektor kesihatan awam, termasuk memperluas sistem EMR kepada lebih 2,000 klinik kesihatan serta meningkatkan kesalinghubungan digital menerusi inisiatif Pemacu Ekosistem dan Ketersambungan Kesihatan Digital Negara (PERSADA).
Pelaksanaan EMR nasional dijangka menjadi asas kepada pemodenan sistem kesihatan Malaysia dengan membolehkan maklumat perubatan pesakit, termasuk sejarah rawatan, keputusan pemeriksaan dan rekod ubat-ubatan, diakses dengan lebih cekap merentas fasiliti kesihatan yang diintegrasikan, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada rekod fizikal dan meningkatkan kesinambungan rawatan pesakit.
Agenda AWANI: Belanjawan 2027 | Kesihatan MADANI ‘back to basics’