Tengku Adnan ulangi cadangan RUU di Stadium Titiwangsa

Bernama
Januari 14, 2017 06:50 MYT
Stadium Titiwangsa digunakan pada Himpunan Solidariti Ummah untuk Rohingya pada Disember lalu. - Gambar fail
Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengulangi cadangan agar PAS mengadakan perhimpunan berkaitan Rang Undang-undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 1965 di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur.
"Dataran Merdeka kita tidak akan benarkan, tidak kira siapa. Saya sudah memberikan cadangan agar mereka (PAS) menggunakan Stadium Titiwangsa seperti yang dilakukan semasa Himpunan Solidariti Ummah untuk Rohingya," katanya kepada pemberita di sini.
Beliau berkata kementerian itu dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak mengamalkan sikap pilih kasih dalam melaksanakan larangan terhadap sebarang perhimpunan daripada diadakan di Dataran Merdeka.
DBKL sebelum ini turut melarang PAS menggunakan Dataran Merdeka sebagai lokasi perhimpunan mereka. -- Bernama
#Akta 355 #PAS #Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 1965 #RUU #Tengku Adnan Tengku Mansor