MALAYSIA

Tengku Amir berkenan tinjau raptai penuh istiadat pernikahan

Bernama 29/09/2025 | 04:00 MYT
Tengku Amir Shah diarak dengan menaiki kenderaan istana Rolls Royce A1 sebelum sesi diteruskan di Istana Alam Shah bagi raptai istiadat pernikahan, yang dibuat secara tertutup. - fotoBERNAMA
KLANG: Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan meninjau raptai penuh istiadat perarakan pernikahan baginda, di sini, hari ini.

Baginda turut berkenan menyertai raptai perarakan tersebut.

Perarakan sejauh kira-kira 650 meter bermula dari Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz hingga ke Istana Alam Shah itu diiringi oleh Rejimen ke-25 Askar Melayu Diraja sebagai jejawat dan paluan kumpulan kompang Istana Diraja Selangor.

Tengku Amir Shah diarak dengan menaiki kenderaan istana Rolls Royce A1 sebelum sesi diteruskan di Istana Alam Shah bagi raptai istiadat pernikahan, yang dibuat secara tertutup.

Sesi hari ini menyaksikan pelepasan dua das tembakan meriam dan difahamkan pada hari kejadian,
11 das tembakan kehormatan ialah dari pasukan 41 Bateri Rejimen Artileri Diraja (Istiadat) berpengkalan di Kem Sungai Buloh.

Turut hadir meninjau persiapan hari ini ialah Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Ahmad dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Diraja Klang, Datuk Abd Hamid Hussain.

Isnin lepas, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan memaklumkan putera baginda, Tengku Amir Shah akan melangsungkan pernikahan dengan pasangannya, Cik Afzaa Fadini Abdul Aziz pada 2 Okt ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani, istiadat pernikahan itu akan berlangsung di Masjid Istana Diraja, Istana Alam Shah, Klang.

Mohamad Munir berkata, Istiadat Persandingan Diraja dan Majlis Santapan Diraja bagi memuliakan perkahwinan itu pula akan diadakan di Balairung Seri dan Balai Santapan Diraja, Istana Alam Shah pada 22 Okt.

-- BERNAMA





#Raja Muda Selangor #tengku amir shah #raptai pernikahan #pernikahan diraja