Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 – Trump & Pemimpin Serantau Berhimpun – Sorotan, Video & Analisis – Ikuti Di Sini
MALAYSIA

Tengku Hassanal ditauliah anggota PASKAU

Ernalisa Othman 26/10/2025 | 09:07 MYT
Sebagai simbol pengiktirafan, Al-Sultan Abdullah berkenan mengurniakan dan memakaikan Beret Biru PASKAU kepada Tengku Hassanal serta Panglima Tentera Udara. - Facebook Pahang Media
PAHANG: Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Mustafa Billah Shah, melahirkan rasa bangga dan terharu apabila putera baginda, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, berjaya ditauliah sebagai anggota Pasukan Khas Tentera Udara Diraja Malaysia (PASKAU) dalam satu majlis istiadat yang berlangsung di Pantai Hiburan, di Pahang pada Ahad.

Baginda bertitah, pencapaian tersebut amat bermakna bukan sahaja kepada keluarga diraja Pahang malah kepada seluruh rakyat negeri itu kerana menyaksikan lahirnya seorang anggota pasukan elit daripada institusi diraja.

Al-Sultan Abdullah turut menyatakan bahawa penglibatan Tengku Hassanal dalam pasukan khas tersebut menggambarkan iltizam dan semangat perjuangan tinggi dalam melaksanakan tanggungjawab mempertahankan kedaulatan negara.

“Hari ini merupakan saat yang penuh erti buat beta dan keluarga apabila dapat menyaksikan dengan penuh rasa bangga pentauliahan anggota PASKAU dalam kalangan keluarga diraja Pahang,” titah baginda.

Baginda turut menzahirkan harapan agar kejayaan Tengku Hassanal menjadi inspirasi kepada generasi muda, khususnya anak-anak negeri Pahang, untuk berbakti kepada negara melalui perkhidmatan dalam angkatan tentera.

“Beta berdoa agar akan ada lagi anggota PASKAU yang lahir daripada keluarga diraja dan rakyat negeri ini, demi kesinambungan semangat perjuangan dan kecintaan kepada tanah air,” titah baginda lagi.

Baginda bertitah demikian pada Majlis Jamuan Diraja yang diadakan selepas baginda berkenan menyempurnakan Majlis Penutup Kursus Asas PASKAU Siri 32/25.

Turut berangkat pada majlis tersebut ialah Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, serta Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Majlis itu turut dihadiri barisan pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), yang menyaksikan upacara penuh istiadat dan disiplin ketenteraan.

Sebagai simbol pengiktirafan, Al-Sultan Abdullah berkenan mengurniakan dan memakaikan Beret Biru PASKAU kepada Tengku Hassanal serta Panglima Tentera Udara.

Upacara pemakaian beret itu melambangkan kemuncak kepada kejayaan menamatkan kursus asas yang menuntut ketahanan fizikal dan mental luar biasa di kalangan anggota pasukan elit berkenaan.

Kejayaan Tengku Hassanal ditauliahkan sebagai anggota PASKAU sekali lagi membuktikan semangat juang dan kesungguhan putera diraja itu untuk terus menabur bakti kepada negara dalam pelbagai bidang termasuk ketenteraan.




#tengku mahkota pajhang #Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah #penerimaan tauliah #paskau #pasukan khas tudm