Skip to main content

Malaysia

Tengku Hassanal gesa tindakan tegas terhadap kontraktor punca projek sakit

https://www.facebook.com/photo?fbid=1512718310303565&set=pcb.1512719896970073
Tengku Hassanal hadir bagi merasmikan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang ke-15 di Wisma Sri Pahang di sini hari ini. - Foto FB Kesultanan Pahang

KUANTAN: Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah supaya kerajaan negeri bersikap tegas terhadap kontraktor yang bermasalah.

Baginda bertitah bahawa sekiranya mana-mana projek diklasifikasikan sebagai “zon kuning”, maka kontraktor bagi projek tersebut wajar ditamatkan lebih awal bagi memastikan kelancaran pelaksanaan projek tidak terjejas.

“Jangan sudah jadi projek sakit baru huru-hara nak diselamatkan. Jangan bagi muka lagi mana-mana kontraktor yang buat onar ini (dan) senarai hitamkan (mereka),” titah baginda 

Baginda bertitah demikian semasa merasmikan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang ke-15 di Wisma Sri Pahang di sini hari ini. 

Menurutnya, Exco berkaitan, Pegawai Pembangunan Negeri (SDO) serta Pengarah jabatan teknikal yang melibatkan Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta Pegawai Daerah perlu bertindak tanpa sekadar menunggu dan lihat.

Baginda turut menyatakan menerusi Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13), Pahang telah menerima kelulusan 133 projek baharu dan 434 projek sambungan dengan peruntukan bernilai sebanyak RM3.3386 bilion.

Tegasnya, setiap projek yang diluluskan harus dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab, cekap, telus serta pemantauan yang rapi.

“Saya tidak mahu berlaku ketirisan, kelewatan mahupun pembaziran,” titah baginda.

Untuk rekod, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dilaporkan telah mengenal pasti 77 projek perumahan berlesen yang dikategorikan ‘projek sakit’ di seluruh negeri Pahang pada 2023.

Namun daripada jumlah tersebut 51 projek berjaya diselesaikan di mana 47 daripadanya berjaya mendapat Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC).

Must Watch Video