Tengku Hassanal nafi terbabit Program Teh Tarik

Bernama
April 28, 2019 21:10 MYT
Tengku Hassanal bertitah supaya namanya tidak digunakan oleh mana-mana pihak dengan sewenang-wenangnya tanpa kebenaran rasmi Istana Pahang. - Gambar fail/BERNAMA
Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah menafikan terbabit dalam program 'Santai Teh Tarik Bersama 4 Putera Mahkota' yang dikatakan berlangsung pada Isnin.
Sumber Istana Pahang berkata program tersebut yang tular di laman sosial, tidak terkandung dalam jadual program Tengku Hassanal.
"Tuanku Tengku Hassanal juga dijadualkan menghadiri program di Pahang seharian pada esok," kata sumber itu semasa dihubungi Bernama di sini, pada Ahad.
Sumber tersebut juga berkata Tengku Hassanal bertitah supaya namanya tidak digunakan oleh mana-mana pihak dengan sewenang-wenangnya tanpa kebenaran rasmi Istana Pahang.
Sebelum ini, poster yang mendakwa 'Program Santai Teh Tarik Bersama 4 Putra Mahkota' yang dikatakan akan berlangsung di Mahkota Parade, Bandar Hilir, Melaka pada 5.30 petang esok tular di laman media sosial.
Poster itu memaparkan gambar Tengku Hassanal, Tengku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah serta seorang lagi 'Putera Mahkota' yang tidak dinyatakan identitinya.
-- BERNAMA
#Istana Pahang #Pemangku Raja Pahang #Santai Teh Tarik Bersama 4 Putera Mahkota #tengku hassanal ibrahim