BANGI: Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyempurnakan Istiadat Pentauliahan Diraja Pegawai Kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Awam (UA) ke-40 di Dewan Gemilang, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di sini, hari ini.

Keberangkatan tiba Tengku Hassanal disambut oleh Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Affendi Buang dan Naib Canselor UKM Prof Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman.

Istiadat Perbarisan melibatkan 1,625 Pegawai Kadet Palapes terdiri daripada 16 detasmen dari 19 UA seluruh Malaysia diketuai Pegawai Rendah Kanan Muhammad Badrul Amin Amanti dari Palapes UKM.

Daripada jumlah itu, seramai 34 orang menerima penyampaian Anugerah Pedang Kehormat sebagai kadet terbaik keseluruhan.

Selesai istiadat Perbarisan, Pemangku Raja Pahang turut berkenan mengurniakan watikah tauliah kepada 1,024 Pegawai Kadet Tentera Darat Malaysia, 277 Pegawai Kadet Tentera Laut Diraja Malaysia dan 324 Pegawai Kadet Tentera Udara Diraja Malaysia yang berlangsung di Dewan Canselor Tun Abdul Razak disusuli dengan bacaan ikrar Taat Setia Perwira serta penyerahan skrol ikrar oleh Pegawai Muda yang baharu ditauliahkan.

Dalam pada itu, Timbalan Komandan Palapes Universiti Tun Hussein Onn Malaysia Lt Kol Mohd Safiee Idris berharap agar pegawai kadet Palapes menjadi penerus kepimpinan negara.

"Kita telah tanamkan semangat patriotik dan kesukarelawanan selama tiga tahun. Diharapkan dengan elemen penting ini, anak muda warisan negara ini menjadi teras pimpinan masa depan," katanya ketika ditemui Bernama.

Istiadat Pentauliahan Diraja Pegawai Kadet Palapes Universiti Awam ke- 40 merupakan istiadat yang diadakan secara tahunan dan dianjurkan UA mengikut penggiliran.

Bagaimanapun, istiadat tersebut tidak dapat dilaksanakan pada 2020 dan 2021 akibat pandemik COVID-19.

-- BERNAMA