Tengku Maimun catat sejarah Ketua Hakim Negara wanita pertama Malaysia

Astro Awani
Mei 2, 2019 10:30 MYT
Pelantikan Tengku Maimun Tuan Mat sebagai Ketua Hakim Negara menggantikan Richard Malanjum diumumkan pejabat Perdana Menteri.
DATUK Tengku Maimun Tuan Mat mencatat sejarah sebagai wanita pertama yang dilantik sebagai Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan berkuat kuasa hari ini.
Pengumuman pelantikan Tengku Maimun dibuat oleh pejabat Perdana Menteri menerusi kenyataan media yang dikeluarkan.
Kenyataan itu menyebut, Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri dan selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja memperkenankan pelantikan itu berdasarkan Fasal (1) Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan.
"Majlis penyampaian watikah pelantikan dan istiadat mengangkat dan menandatangani sumpah jawatan dan sumpah setia di hadapan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong akan dimaklumkan oleh Pejabat
Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia setelah mendapat perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong," kata kenyataan itu lagi.
Kenyataan tersebut turut merakamkan penghargaan kepada Tan Sri Richard Malanjum di atas segala khidmat bakti beliau sepanjang memegang jawatan Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan sebelum ini.
Perkhidmatan Richard sebagai Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan berakhir pada 12 April lalu setelah mencapai umur 66 tahun dan 6 bulan.
#Ketua Hakim Negara #Mahkamah Persekutuan #Perdana Menteri #Tengku Maimun catat sejarah Ketua Hakim Negara wanita pertama Ma #Tengku Maimun Tuan Mat