KUALA LUMPUR: Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin hari ini berkenan merasmikan Pameran Rahsia Kebaya yang berlangsung di Muzium Tekstil Negara, di sini.

Pameran Rahsia Kebaya dianjurkan Kementerian Perpaduan Negara menerusi Jabatan Muzium Malaysia (JMM) dibuka kepada orang ramai sejak 19 Okt lepas hingga 31 Dis ini dan ia memaparkan keunikan, keanggunan dan kepelbagaian busana kebaya yang menjadi identiti nasional rakyat Malaysia.

Tengku Permaisuri Norashikin turut berkenan meminjamkan sepersalinan baju kebaya labuh milik baginda diperbuat daripada kain Tenun Pahang Diraja yang dikurniakan oleh Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Kebaya Selangor itu dihiasi telepuk emas bercorak bunga tanjung pecah sembilan pada bahagian baju dan kain sarungnya yang mewakili sembilan daerah di negeri berkenaan serta dilengkapi selendang berona kuning dan dihiasi batu permata.

 Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin (tengah) berkenan merasmikan Pameran Rahsia Kebaya di Muzium Tekstil Negara, hari ini. - Foto Bernama

Busana berkenaan hasil rekaan pereka fesyen tersohor, Datuk Radzuan Radziwill dan Tengku Permaisuri Norashikin mengenakan persalinan itu sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah ke-75 di Istana Alam Shah, Selangor pada 27 Nov 2021.

Tengku Permaisuri Norashikin juga berkenan mencemar duli meluangkan masa kira-kira sejam mengunjungi Galeri Saindera di muzium berkenaan bagi melihat 60 koleksi baju kebaya milik JMM dan pinjaman koleksi daripada rakan kerjasama pameran berkenaan sebelum menandatangani buku pelawat.

Sementara itu, Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Aro Dagang berkata Pameran Rahsia Kebaya bertujuan mendukung peranan dan usaha kerajaan dalam mengangkat dan memartabatkan baju kebaya di bawah Senarai Nilai Budaya Warisan Budaya Warisan Kemanusiaan ke peringkat Pertubuhan, Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Beliau berkata pencalonan baju kebaya berkenaan disertai lima negara membabitkan Malaysia, Brunei, Indonesia, Singapura dan Thailand sebagai Pencalonan Kebaya Bersama.

"Proses dan perjalanan Pencalonan Kebaya Bersama bermula sejak Januari 2022 dan telah dimurnikan serta dihantar ke UNESCO pada Mac lepas.

"Keputusannya akan dimuktamadkan dalam Sesi ke-19 Jawatankuasa Antara Kerajaan bagi Pemuliharaan Warisan Kebudayaan Tidak Ketara tahun depan," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian pameran yang menyasarkan 10,000 pengunjung.

Beliau berharap Pencalonan Kebaya Bersama itu berjaya diiktiraf sekali gus dapat mempromosi dan meraikan kekayaan warisan sejarah serta menggalakkan persefahaman silang budaya antara negara terlibat.

-- BERNAMA