Tengku Permaisuri Selangor rasmi Majlis Puisi Dirgahayu Tuanku

Tengku Permaisuri Norashikin berkenan melihat isi kandungan buku yang dilancarkan ketika berangkat ke Majlis Puisi Dirgahayu Tuanku di Hotel Wyndham Acmar Klang, Klang, 8 Jan 2026. --fotoBERNAMA
SHAH ALAM: Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin berkenan menyempurnakan perasmian Majlis Puisi Dirgahayu Tuanku malam tadi, anjuran Universiti Teknologi MARA (UiTM) melalui Kursi Institusi Raja-Raja Melayu UiTM, Pejabat Pemerkasaan Adiwangsa UiTM.
Majlis yang dianjurkan dengan kerjasama Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia (Pemuisi) sebagai tanda penghormatan dan kesetiaan tidak berbelah bahagi terhadap Raja-Raja Melayu, yang merupakan payung kedaulatan negara.
Penganjuran majlis itu juga berperanan memartabatkan seni puisi sebagai wahana penyampaian nilai patriotik, mengukuhkan penghargaan terhadap warisan budaya Melayu, serta memupuk rasa cinta kepada Institusi Diraja dalam kalangan generasi muda dan seluruh rakyat.
Naib Canselor UiTM Profesor Datuk Dr Shahrin Sahib @ Sahibuddin dalam sembah aluan berkata penganjuran majlis itu mencerminkan iltizam UiTM untuk terus memperkasakan kefahaman dan penghayatan terhadap Institusi Raja-Raja Melayu melalui pendekatan yang halus, berbudaya dan berteraskan ilmu.
"Sebagai sebuah universiti awam yang lahir daripada amanah sejarah, dan didukung nilai Usaha, Takwa, dan Mulia, UiTM sentiasa menjunjung tinggi Institusi Raja-Raja Melayu sebagai payung kedaulatan, tonggak kestabilan kenegaraan dan lambang perpaduan rakyat.
"Penganjuran majlis ini bukan sekadar acara kesusasteraan, tetapi wahana kesedaran intelektual dan budaya, menzahirkan hubungan beradab, berilmu, dan bersejarah antara rakyat dengan Raja Pemerintah," katanya.
Justeru, beliau berkata UiTM komited melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dalam ilmu dan kemahiran, tetapi juga kaya budi pekerti, memahami akar budaya, menghormati Institusi Raja-Raja Melayu, serta menjunjung tinggi nilai kesetiaan, tanggungjawab, dan khidmat bakti sebagai warganegara.
Beliau berkata Kursi Institusi Raja-Raja Melayu UiTM yang menjadi teras penganjuran majlis ini diwujudkan sebagai wadah keilmuan untuk mengkaji, mendokumentasi dan menyebarluaskan pengetahuan berkaitan Institusi Diraja daripada pelbagai perspektif meliputi sejarah, perlembagaan dan kebudayaan.
Pejabat Pemerkasaan Adiwangsa UiTM pula berperanan memperkukuh penghayatan nilai jati diri, adab dan kebangsaan dalam kalangan warga universiti melalui pelbagai program berteraskan ilmu dan warisan.
Pada majlis itu Tengku Permaisuri Norashikin turut berkenan melancarkan buku Antologi Puisi Dirgahayu Tuanku terbitan Pemuisi.
Turut hadir Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad , Presiden Pemuisi Datuk Dr Radzuan Ibrahim @Wanrazuhar dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBI Selangor Datuk Saipolyazan M Yusop.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


