MALAYSIA

Tengku Permaisuri Selangor sempurnakan pelancaran, penamaan LCS kedua TLDM

Bernama 03/07/2025 | 06:45 MYT
Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin berkenan merasmikan Upacara Penamaan dan Pelancaran Kapal Tempur Pesisir 2 TLDM di Pangkalan TLDM Lumut hari ini. - Foto Bernama
LUMUT: Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin berkenan menyempurnakan upacara pelancaran dan penamaan Kapal Tempur Pesisir (LCS) kedua milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Pangkalan TLDM di sini hari ini.


Ringkasan AI
  • Kapal Tempur Pesisir kedua TLDM dinamakan Raja Muda Nala, dilancarkan oleh Tengku Permaisuri Selangor di Lumut sebagai simbol keberanian dan semangat juang tokoh sejarah Selangor.
  • Kapal ini merupakan frigat pertama dibina sepenuhnya oleh syarikat tempatan, Lumut Naval Shipyard, mencerminkan keupayaan anak tempatan dalam industri pertahanan negara.
  • LCS 2 adalah sebahagian daripada lima kapal dalam pelan strategik TLDM; setakat 25 Mei, kemajuan pembinaan keseluruhan telah mencapai 72.43%.


Turut berangkat pada majlis itu Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Kapal berkenaan dinamakan "Raja Muda Nala" dan sebagai simbolik pelancaran satu kendi dilepaskan ke dinding haluan kapal, mengandungi himpunan air daripada sembilan masjid yang mewakili sembilan daerah di Selangor dan telah dibacakan dengan surah Yasin oleh Imam Besar Masjid Negeri Selangor.

Penamaan dan pelancaran kapal itu upacara tradisi tentera laut sejak Royal Navy ditubuhkan sebagai identiti sebelum kapal baharu ditauliah dalam perkhidmatan TLDM.

Sementara itu, Adly ketika membacakan teks ucapan Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata nama Raja Muda Nala dipilih bersempena nama seorang tokoh pejuang tersohor tanah air yang memimpin perjuangan rakyat Selangor menentang penguasaan Belanda di negeri Selangor.

Nama itu ialah simbol keazaman, keberanian dan semangat juang tokoh berkenaan dalam mempertahankan kedaulatan negeri Selangor.

"Dalam konteks ini, semangat kepahlawanan, perjuangan dan keberanian baginda Raja Muda Nala dilihat amat bertepatan dan selari dengan keupayaan Kapal Tempur Pesisir Tentera Laut Diraja Malaysia yang direka untuk menghadapi pelbagai bentuk ancaman dalam era peperangan moden," katanya.

Perolehan kapal-kapal tempur persisir adalah sebahagian daripada perancangan strategik TLDM dalam memperkukuh kesiagaan armada menerusi pemilikan aset berteknologi tinggi, berkemampuan tempur dan berkeupayaan melaksanakan pelbagai operasi maritim.

LCS kedua (LCS 2) turut menjadi simbol kebanggaan negara kerana ia kapal kelas frigat pertama yang dibina sepenuhnya oleh syarikat tempatan Lumut Naval Shipyard Sdn Bhd (Lunas).

"Proses pembinaan kapal ini bermula dengan majlis perletakan lunas atau keel laying pada 28 Feb 2017. Kejayaan ini secara tidak langsung mencerminkan keupayaan anak-anak tempatan merealisasikan aspirasi negara untuk bersaing dalam industri berat dan industri pertahanan di peringkat global," katanya.

"Peranan 'Lumut Naval Shipyard' juga penting dalam merangsang pembangunan industri maritim negara, bukan sahaja dalam aspek pertahanan, malah merangkumi bidang pembinaan dan baik pulih kapal, pemindahan teknologi serta peningkatan kemahiran dalam kalangan subkontraktor tempatan," katanya.

Sebelum ini, LCS pertama (LCS 1) berjaya dilancarkan mengikut jadual kontrak pada 23 Mei 2024, memulakan fasa STW bermula Mei 2025, dan dijangka menjalani aktiviti pelayaran sulung pada Disember akan datang.

Terdahulu, LCS 2 selesai menjalani proses diturunkan ke permukaan air pada 8 Mei lepas.

Sehingga 25 Mei lepas, kemajuan keseluruhan pembinaan kelima-lima LCS mencapai 72.43 peratus.

-- BERNAMA





#Tengku Permaisuri Selangor #Tengku Permaisuri Norashikin #LCS #TLDM #Sultan Selangor #Sultan Sharafuddin Idris Shah #lumut