Tengku Permaisuri Selangor titah pulihkan kembali seni sulaman kelingkan

Bernama
Ogos 8, 2022 08:33 MYT
Tengku Permaisuri Norashikin (tengah) berkenan melawat ruang pameran kesenian telepuk warisan Melayu selepas Majlis Pelancaran Buku Terbitan Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT) di Pustaka Raja Tun Uda hari ini. - Foto BERNAMA
SHAH ALAM: Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin bertitah agar usaha bagi memulih kembali warisan dan tekstil seni sulaman kelingkan diadakan dalam kalangan rakyat negeri itu.
Bagi tujuan tersebut, Tengku Permaisuri Norashikin bertitah supaya Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT) dapat merancang agenda untuk merakyatkan budaya dan warisan tersebut yang dahulunya pernah popular di Selangor.
"Seni sulaman kelingkan yang dahulunya tidak asing lagi dalam kalangan kerabat diraja Selangor setelah diperkenalkan oleh Tengku Ampuan Jemaah dan legasi tersebut diteruskan pula oleh Tengku Ampuan Rahimah, kini ia semakin jarang kelihatan," titah baginda di majlis pelancaran tujuh buku baharu terbitan PADAT di sini hari ini.
Tujuh buku tersebut adalah Sulaman Kelingkan Melayu karya Mohd Subli Musa; tiga buku ditulis Intan Salina Idrus iaitu Kesenian Telepuk Warisan Melayu Selangor, Penyelidikan Terkini Nisan Acheh di Selangor serta Warisan Telepuk Alam Melayu; Kebaya Selangor oleh Rohayu Mohd Yunus; Permainan Wau Kapal oleh Mohd Subli Musa serta Tarian Piring Selangor oleh Allahyarham Mohd Lotfi Nazar.
Tengku Permaisuri Selangor juga menzahirkan ucapan syabas dan tahniah kepada warga kerja PADAT di atas kejayaan penghasilan karya-karya berkaitan warisan ketara dan tidak ketara yang bermutu dan memiliki nilai tinggi.
Titah baginda penulisan tersebut merupakan satu dokumentasi penting yang dapat dijadikan sebagai sumber rujukan oleh generasi akan datang terutamanya mengenai seni warisan tekstil yang semakin dilupakan seperti sulaman kelingkan dan kain telepuk yang kini semakin sukar untuk diperoleh kerana tiadanya pengusaha yang mahir untuk menghasilkannya.
"Besar harapan saya agar kerjasama dapat dilakukan bersama agensi yang berkaitan agar koleksi buku ini bukan hanya ditempatkan di perpustakaan dalam negara, malahan dapat dipromosikan kepada perpustakaan di luar negara," titah baginda.
-- BERNAMA
#seni sulaman kelingkan #Tengku Permaisuri Selangor #Tengku Permaisuri Norashikin #tekstil #Warisan #Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor #padat