Tengku Razaleigh menghadap Agong, apa intipati pertemuan itu?

Fareez Azman
Oktober 13, 2020 09:21 MYT
Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah dilihat meninggalkan Istana Negara kira-kira jam 2.43 petang Selasa. - Bernama
KUALA LUMPUR: Tengku Razaleigh Hamzah menjadi Ahli Parlimen pertama dipanggil menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara pada Selasa.
Ia selepas Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadap Al-Sultan Abdullah pada sebelah pagi bagi mempersembahkan dokumen lengkap sokongan terhadapnya seperti yang dimaklumkan sebelum ini.
Difahamkan, Veteran UMNO itu telah memasuki Istana Negara pada jam 1.20 petang melalui Pintu 2, namun tidak dilihat kelibat pemimpin politik lain.
Bagaimanapun, tepat jam 4.23 petang, Ahli Parlimen Gua Musang itu dilihat meninggalkan Istana Negara menaiki sebuah kenderaan. Cubaan pihak media mendapatkan sebarang reaksi daripada beliau bagaimanapun gagal.
Pihak polis turut mengarahkan setiap pengamal media untuk bersurai kerana tiada lagi pemimpin dijadualkan menghadap Sultan Abdullah pada hari ini.
Sehingga kini, tidak dapat disahkan khabar angin bahawa ada beberapa lagi pemimpin parti politik dikatakan akan menghadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah.
Terdahulu, Pengerusi PH yang juga Presiden Keadilan, Datuk Seri Anwar Ibrahim meluangkan masa sejam menghadap Al-Sultan Abdulllah bagi mempersembahkan sokongan terhadapnya.
Anwar dilihat meninggalkan Istana Negara pada jam 11.30 pagi sebelum membuat Sidang Media di salah sebuah hotel di ibu negara pada Selasa.
#Anwar Ibrahim #Tengku Razaleigh Hamzah #Pakatan Harapan #UMNO #Yang di-Pertuan Agong #ahli Parlimen #isu politik #Perdana Menteri #Istana Negara #Media