MALAYSIA

Tengku Zafrul teruskan rundingan tarif dengan Washington Rabu depan

Bernama 11/06/2025 | 11:34 MYT
Tengku Zafrul akan ke Washington pada 18 Jun untuk meneruskan rundingan berkaitan tarif yang dikenakan oleh Amerika Syarikat terhadap Malaysia. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz akan ke Washington pada 18 Jun ini untuk meneruskan rundingan berkaitan tarif yang dikenakan oleh Amerika Syarikat (AS) ke atas Malaysia.


Ringkasan AI
  • Tengku Zafrul akan ke Washington pada 18 Jun untuk meneruskan rundingan berkaitan tarif yang dikenakan oleh Amerika Syarikat terhadap Malaysia, termasuk pertemuan dengan Wakil Perdagangan AS dan pelabur.
  • Malaysia terbuka untuk rundingan dalam empat bidang utama: mengurangkan defisit perdagangan, menangani halangan bukan tarif, perlindungan teknologi, dan potensi perjanjian perdagangan dua hala.
  • Tarif sebanyak 24 peratus ke atas barangan Malaysia yang diumumkan oleh AS telah ditangguhkan selama 90 hari bagi memberi ruang kepada rundingan perdagangan.


Beliau berkata perkara itu telah dimaklumkan olehnya kepada Kabinet hari ini.

"Saya akan ke AS minggu depan dan kita akan meneruskan rundingan secara fizikal. Sebelum ini, perbincangan itu berterusan secara dalam talian.

"Saya akan berjumpa dengan Wakil Perdagangan AS (USTR) minggu depan di Washington," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis pemeteraian Pembiayaan Bersindike dan Skim Bekalan Tenaga Boleh Baharu Korporat DayOne di sini, hari ini.

Beliau akan mengadakan perjumpaan bersama USTR, Jamieson Greer serta wakil-wakil pentadbiran AS dan juga pelabur, katanya.

Di samping itu, Tengku Zafrul juga akan mengambil peluang untuk bertemu wakil daripada beberapa dewan perniagaan, syarikat dan kumpulan berkepentingan termasuk Dewan Perniagaan Amerika Malaysia (AMCHAM) dan Majlis Perniagaan AS-ASEAN.

Pada 24 April lepas,Tengku Zafrul telah mengetuai delegasi peringkat tinggi ke Washington untuk mengadakan perbincangan dengan Setiausaha Perdagangan AS Howard Lutnick dan Greer.

Semasa pertemuan itu Tengku Zafrul menekankan kepentingan untuk mengadakan perbincangan secara berterusan dan mengulangi kesediaan Malaysia untuk mencari jalan penyelesaian secara membina terhadap kebimbangan yang disuarakan AS.

Malaysia menyatakan keterbukaan untuk mengadakan rundingan dalam empat bidang utama: mengurangkan defisit perdagangan, menangani isu halangan bukan tarif, mengukuhkan perlindungan dan keselamatan teknologi serta meneroka potensi perjanjian perdagangan dua hala.

Pada 2 April lepas, Presiden AS Donald Trump telah mengumumkan tarif terhadap kira-kira 60 negara termasuk 24 peratus ke atas kebanyakan barangan Malaysia.

Bagaimanapun, tarif itu telah ditangguhkan selama 90 hari bagi kebanyakan negara untuk membolehkan rundingan perdagangan diadakan.

-- BERNAMA


#rundingan tarif #Malaysia #Amerika Syarikat #Tengku Zafrul