GSF: Kesemua 23 delegasi Malaysia disahkan telah ditahan oleh Israel – Ikuti Laporan Langsung
MALAYSIA

Tentera Israel paksa sukarelawan GSF melutut lima jam

Seth Akmal 04/10/2025 | 04:10 MYT
Kesemua aktivis dan sukarelawan telah dipaksa melutut dengan tangan diikat menggunakan tali zip nilon (zip tie) selama sekurang-kurangnya lima jam selepas ditahan oleh tentera Israel. - Gambar Reuters
SEPANG: Laungan “Free Palestine” oleh sukarelawan Global Sumud Flotila (GSF) menyebabkan pasukan bersenjata rejim Zionis bertindak ganas terhadap mereka.

Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Sani Araby Al-Kahery berkata, kesemua aktivis dan sukarelawan telah dipaksa melutut dengan tangan diikat menggunakan tali zip nilon (zip tie) selama sekurang-kurangnya lima jam selepas ditahan oleh tentera Israel.

“SNCC juga mengesahkan laporan yang menyebut bahawa peserta dipaksa melutup dengan tangan yang bergari, zip-tie selama lima jam selepas sebahagian daripada mereka melaungkan Free Palestine.

“Peguam daripada Pusat Undang-Undang bagi Hak Minoriti Arab di Israel (ADALAH) turut memaklumkan peserta telah dinafikan akses seperti air, tandas, ubat-ubatan dan hak bertemu peguam,” kata beliau pada sidang media di sini, hari ini.

Pihak peguam Malaysia CENTHRA turut mengesahkan para sukarelawan telah ditahan di fasiliti tahanan imigresen paling ketat iaitu Penjara Ketziot.

Tambahnya lagi, proses konsultasi guaman yang dijalankan oleh ADALAH turut terganggu pada fasa kedua rundingan untuk membawa pulang para sukarelawan.

“Keseluruhan delegasi GSF telah dihalang untuk diberikan hak konsultasi dengan wakil ADALAH. Walaupun mereka telah bertemu dengan 20 orang, namun proses fasa kedua tidak dapat dilaksanakan.

“Fasa ini adalah fasa yang genting bukan semudah kita sebutkan negosasi itu berjalan semudah-mudahnya ini melibatkan rejim yang kita kecam selama ini tapi teruskan berdoa dan memberi sokongan,” katanya.

Sehingga laporan diterbitkan, pihak SNCC turut menunggu perkembangan untuk tiga lagi rakyat Malaysia yang telah ditahan pada Khamis.

Sebelum ini menurut penganjur GSF, sebanyak 42 flotila telah dipintas oleh pasukan bersenjata Israel pada Khamis lalu dan seramai 201 aktivis kemanusiaan dari 36 buah negara telah ditahan oleh rejim itu.

Antara yang ditahan termasuk 23 sukarelawan dari Malaysia yang turut serta dengan misi GSF.

Aktivis Malaysia yang ditahan ialah Musa Nuwayri, Sul Adil, Taufiq Mohd Razif, Haikal Luqman, Hariz Adzrami, Danish Nazram, Haikal Abdullah, Muaz Zainal, Norhelmi Ab Ghani, Norazman Ishak, Mohd Asmawi, Rusydi Ramli, Iylia Balqis dan Zulfadhli Khairudin.

Malah terdapat pengamal media, pendakwah bebas dan selebriti turut bersama dalam misi, antaranya Zainal Rashid Ahmad, Razali Awang, Muhammad Abdullah, Rahmat Ikhsan, Farah Lee, Hazwani Helmi, Heliza Helmi, Ardell Aryana dan Zizi Kirana.







#Global Sumud Flotilla #tentera Israel #melutut lima jam #sukarelawan GSF