[TERKINI] Ketegangan Memuncak: Iran Lancar 9 Serangan ke Atas Israel dalam 24 Jam. Ikuti laporan terkini di sini.
NATIONAL

Tentera tumbuk wanita didakwa pula atas pertuduhan khianat

Sinar Harian 09/04/2025 | 06:49 MYT
Anggota tentera yang videonya tular menumbuk seorang pemandu wanita bulan lalu dihadapkan pula ke Mahkamah Majistret di sini pada Rabu atas pertuduhan melakukan khianat. -Sinar Harian
SEREMBAN: Anggota tentera yang videonya tular menumbuk seorang pemandu wanita bulan lalu dihadapkan pula ke Mahkamah Majistret di sini pada Rabu atas pertuduhan melakukan khianat.

Ringkasan AI
  • Anggota tentera Abdul Hafiz Abu Bakar didakwa di Mahkamah Majistret atas pertuduhan melakukan khianat dengan merosakkan pintu depan kereta seorang wanita.
  • Kesalahan dilakukan pada 29 Mac 2025 di Taman Satria, Senawang, dan tertuduh mengaku tidak bersalah.
  • Mahkamah menetapkan jaminan RM2,000 dan sebutan semula kes pada 19 Mei, dengan kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Tertuduh, Abdul Hafiz Abu Bakar, 35, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret, Nurul Saqinah Rosli selepas kertas pertuduhan dibacakan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh telah melakukan khianat terhadap harta benda dengan cara merosakkan pintu depan kereta milik seorang wanita berusia 28 tahun.
Kesalahan itu dilakukan pada 29 Mac 2025, kira-kira jam 10.20 malam di Taman Satria, Senawang di sini.
Berikutan itu tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara minimum satu tahun dan maksimum lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.
Timbalan Pendakwa Raya, Nadia Ezzati Mohd Zainal menawarkan jaminan RM8,000.
Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Syed Fadil Syed Othman memohon jaminan minimum terhadap tertuduh yang bekerja sebagai tentera dan menanggung dua anak manakala isterinya hanya suri rumah.
Mahkamah menetapkan jaminan RM2,000 dengan seorang penjamin dan sebutan semula kes 19 Mei ini.
Pada Isnin lalu, tertuduh telah didakwa di mahkamah sama atas pertuduhan menumbuk wanita sama, namun dia mengaku tidak bersalah.
Media sebelum ini melaporkan tular satu klip memaparkan seorang pemandu kereta Perodua Axia wanita ditumbuk seorang lelaki di Senawang.
Kejadian dipercayai berpunca selepas lelaki berkenaan berang kerana mendakwa anaknya dilanggar pemandu kereta terbabit ketika melintas jalan. -Sinar Harian
#Abdul Hafiz Abu Bakar #Anggota tentera #rosakkan pintu depan kereta #Taman Satria Senawang