NEW DELHI: Tentera Udara Malaysia dan Jepun pada Isnin membincangkan kerjasama dalam bidang bantuan kemanusiaan dan bencana (HADR) serta mengenai pengukuhan hubungan menerusi perkongsian ilmu.

Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan bertemu Ketua Turus Angkatan Pertahanan Udara Jepun Leftenan Jeneral Takuto Ogasawara, di bandar Bangalore, serta menyaksikan pertunjukan pesawat udara.

Rundingan kedua-dua pemimpin tentera itu meliputi kerjasama dua hala dalam HADR dan pertukaran pakar kandungan (SMEE), kata seorang pegawai Suruhanjaya Tinggi Malaysia kepada Bernama.

Pameran pertahanan dan aeroangkasa dwitahunan Aero India yang diadakan selama lima hari di Stesen Tentera Udara Yelahanka di Bangalore dirasmikan oleh Perdana Menteri Narendra Modi pada Isnin dan telah menarik kira-kira 800 peserta pameran termasuk 100 syarikat asing.

-- BERNAMA